MUSIBAH COVID -19 ADALAH UJIAN ALLAH SWT. BERSABARLAH MENGHADAPINYA DENGAN MENTAATI ARAHAN PEMIMPIN DAN MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT


Walaupun kes Covid-19 semakin meningkat dengan angka kematian melebihi 12k dan jumlah keseluruhan kes yang dicatat sebanyak 1,444,270, ia bukanlah bermakna pengakhiran kehidupan kita. Sebagai seorang Mukmin, kita harus percaya akan setiap asbab yang terjadi pada hari ini adalah dugaan dan ujian daripada Allah SWT. Hanya Allah SWT sahajalah yang mengetahui segala puncanya. Firman Allah SWT: 

"Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu)- untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." (QS Al - Mulk: 2). 

Oleh itu, sebagai seorang Muslim hendaklah kita sentiasa bersabar dan bersama-sama berusaha untuk mengekang wabak Covid-19 ini dari terus tersebar. Bagaimana? Dengan mematuhi segala bentuk SOP yang telah ditetapkan dan juga menjaga kawalan kendiri sepanjang pandemik ini. Usahlah ke mana-mana tanpa hala tujuan dan yang paling penting sentiasa bersabar dan tidak mudah emosi. 

Bersabar terhadap ujian dan dugaan yang diberikan Allah SWT juga termasuk di dalam konteks kesempurnaan iman dan mencegah diri kita daripada kemungkaran. Justeru, hendaklah kita meletakkan kesabaran di tempat pertama dalam diri agar tidak terjerumus ke lembah dosa dan terus berusaha mengekang wabak ini dengan jayanya. Allah SWT berfirman: 

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira." (QS Al - Zumar: 10) 

#kitamestimenang

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Harian Metro (1 April 2020)

Comments