ANTARA TANDA IMAN YANG BENAR - BERSABAR APABILA DITIMPA MUSIBAH DAN BERSYUKUR APABILA MENERIMA NIKMAT KESENANGAN DARIPADA ALLAH SWT



 Setiap Mukmin hendaklah sentiasa berusaha melakukan setiap perkara mengikut garis panduan yang ditetapkan Allah dan rasul-Nya. Maka natijah daripada usaha berkenaan akan diterima oleh orang Mukmin dengan hati yang lapang kerana dia sedar akan kuasa Allah SWT menentukan segalanya yang terbaik untuk hamba-Nya.

Apabila seseorang Mukmin benar-benar beriman kepada Allah SWT, segala yang berlaku dalam dirinya akan dilihat dengan pandangan yang baik. Rasulullah SAW bersabda:

"Sungguh menakjubkan keadaan seorang Mukmin. Semua urusannya adalah baik...Jika mendapatkan kesenangan, dia bersyukur. Maka itu adalah baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan pula, dia bersabar. Maka itu pun baik baginya." (HR Muslim).

 Namun, cuma sedikit sahaja dikalangan kita ini yang betul-betul memahami erti syukur dan sabar dan cuba untuk  mengamalkannya sifat mahmudah ini secara konsisten dalam kehidupan kita.

Dikala dunia sedang dilanda musibah Covid-19 dan betapa ramainya manusia yang terkesan akibat pandemik itu, inilah masanya untuk kita memperbetulkan diri kita dan kembali kepada Allah SWT.

Kita hendaklah sentiasa bersabar dan bersyukur dalam menghadapi musibah yang datang melanda. Sifat sabar diulang 90 kali di dalam al-Quran. Betapa Allah mengangkat darjat ketinggian orang yang sabar. Bersabarlah di atas ujian yang dihadapi. Kerana kita tahu di sebalik ujian ini banyak hikmah yang boleh kita ambil iktibarnya dan ilmu kita sangatlah terhad. Orang yang sabar mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah SWT. Bersyukurlah kerana kita insan terpilih yang diberi ujian supaya kita tidak lupa siapa kita. Allah tidak menguji kita dengan sia-sia. Allah menjanjikan kurniaan dan ganjaran bagi orang yang sabar. Firman Allah SWT:

"Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai di syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh (iaitu) mereka yang sabar dan mereka yang berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya.” (QS al – Ankabut: 58-59).

Di samping itu, kita janganlah berputus asa dengan rahmat dan pertolongan Allah SWT untuk terus berdoa semoga Allah SWT menghilangkan musibah yang berlaku ini. Inilah masanya untuk kita memperbetulkan diri kita dan kembali kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah, nescaya Aku perkenankan untukmu." (QS al – Gafir: 60).

Tanpa disedari, berdoa ketika ditimpa musibah sebenarnya mewujudkan rasa keikhlasan yang lebih mendalam kerana di saat itulah kita bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam berdoa dan berkomunikasi dengan Allah SWT Yang Maha Mendengar (Al-Sami'), Yang Maha Memberi Kesejahteraan (Al-Salam) dan Yang Maha Pengampun (Al- Ghaffar).

Mulai dari hari ini, marilah sama-sama kita melatih diri kita untuk sentiasa mengamalkan sifat sabar dan syukur  waima sebelum, semasa atau selepas ujian dan musibah supaya kita menjadi seorang Muslim yang benar imannya. Begitu juga kita hendaklah sentiasa bertaubat dan berdoa kepada Allah SWT Jangan tunggu terkena musibah barulah kita mahu bertaubat dan berdoa kepada Allah SWT. Semoga dengan ujian covid dari Allah SWT ini kita dapat mendidik dan membersihkan jiwa dan amalan harian kita. 

Sumber: Harian Metro (29 Januari 2021)

Comments