MUKMIN YANG BAIK BUKANLAH BERSIFAT SUKA MENCELA, MELAKNAT DAN BERKATA KASAR TERHADAP MUKMIN YANG LAIN



Islam bukan saja melarang umatnya mencaci dan memaki-hamun, tetapi turut mengharamkan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada bibit-bibit perbuatan itu seperti mengejek, menyindir, mencela atau melaknat. Kehidupan moden pada hari ini menyaksikan banyak perilaku bertentangan amalan dan etika sosial apabila timbul pelbagai perbuatan menyeleweng daripada landasan dibenarkan agama. Perkara itu berlaku kerana terkeliru dengan budaya dan nilai hidup. Apa saja perbuatan mencetuskan perbalahan, ia tetap dihukum haram.


Di dalam surah al – Ahzab ayat 58, Allah SWT mengingatkan, sebarang perilaku yang boleh menyakiti orang mukmin tanpa kesalahan yang mereka lakukan boleh menyebabkan seseorang itu berdosa dan dilaknat Allah SWT. FirmanNya:


“Dan orang yang menyakiti orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka memikul pembohongan dan dosa yang nyata.”


Sifat sebenar seorang Mukmin yang sejati itu bukanlah yang bertentangan dengan apa yang diajar oleh agama Islam. Akan tetapi, itulah yang terjadi pada hari ini apabila ramai di antara umat Islam yang suka mencela dan melaknat sesuatu kaum atau seseorang. Banyak terjadinya perkara ini di kalangan orang Islam apatah lagi di dalam dunia maya. Rata-rata umat Islam hari ini ramainya yang suka mencela dan menjelek-jelekkan orang seumpama diri mereka itulah yang paling sempurna. Jangan berlagak dan sombong ya wahai umat Islam, kerana azab dan balasan Allah SWT kepada golongan pencela dan pelaknat itu amat perit sekali. Dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW bersabda:


“Sungguh seorang hamba mengucapkan satu perkataan yang diredhai Allah, tanpa terdetik dalam benaknya (kemuliaan ucapan tersebut) maka Allah akan mengangkat darjatnya. Dan sungguh seorang hamba mengucapkan satu perkataan yang dimurkai Allah, tanpa terdetik dalam benaknya (bahaya ucapan tersebut) maka ia pun terjerumus kedalam neraka jahanam.” (HR Bukhari).


Oleh itu, marilah kita semua bermuhasabah diri, ‘reset’ balik hati dan minda kita agar menjadi seorang Mukmin yang betul-betul sejati dan menjauhkan diri kita daripada sifat-sifat buruk seperti mencela, melaknat, berperilaku keji dan berkata kasar. Jadilah seorang Mukmin yang sentiasa memelihara lisan dan berhati-hati dalam ucapan dan tulisan kerana jika sebaliknya berlaku, segala apa yang kita lakukan menjerumuskan kita ke dalam dosa yang besar. Sabda Rasulullah SAW:


 “Seorang mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar.” (HR Tirmizi).


Sumber: Harian Metro (22 Januari 2019)

Comments