MUSIBAH ITU PENGHAPUS DOSA. JADIKAN MUSIBAH SEBAGAI 'IBRAH' (PENGAJARAN) UNTUK MENINGKATKAN KESABARAN, BERTAUBAT, BERTAWAKAL, DAN MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT


Ramai yang mengeluh takala diri ditimpa musibah. Lumrah manusia sememangnya begitu. Sementara itu, ramai daripada kita pada hari ini menganggap musibah yang melanda rakyat dan negara ini adalah suatu petanda malang kepada umat manusia. Manakan tidak, dengan angka kematian dan jangkitan akibat wabak Covid-19 yang semakin meninggi dan juga bencana-bencana alam lain yang baru sahaja terjadi membuatkan kita menjadi hilang pertimbangan dan ianya sekaligus meletakkan diri kita dalam keadaan ketakutan. Pada ketika inilah ramai yang mula menuding jari terhadap satu sama lain di atas kegagalan dalam menguruskan negara dan hal ehwal pandemik tersebut. 

Mengapa kita tidak ‘check’ diri sendiri? Mengapa kita asyik meletakkan apa yang terjadi ini sebagai salah pihak lain? Mungkin Allah SWT menunjukkan ini semua kepada kita supaya kita sentiasa ingat akan kekuasaanNya dan mahu kita bertaubat dengan sesungguhnya. Kita sebagai hamba Allah SWT tidak sempurna, janganlah sentiasa menganggap diri kita ini tidak mempunyai dosa. Kita sentiasa melakukan dosa, maka dengan itu Allah SWT mendatangkan musibah ini untuk kita segera bertaubat. Ketahuilah, ada sebab kenapa Allah SWT memberikan ujian berupa musibah, keletihan, kesakitan, kegusaran dan sesuatu yang mengganggu kehidupan. Musibah yang datang itu adalah sebagai kifarah atau penghapus dosa agar hambaNya sentiasa dalam rahmatNya. Rasulullah SAW bersabda:

"Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan ALLAH SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya." (HR Muslim).

Renungkanlah, Allah SWT sangat sayang akan hamba-hambaNya dan Dia menurunkan sedikit musibah agar kita kembali kepadaNya. Mungkin selama ini kita terlalu leka dengan nikmat yang diberikan seperti rezeki yang melimpah-ruah dan kemewahan yang berganda hingga kita lupa itu semua itu turun atas izin yang Maha Kuasa. Kesakitan, ujian dan musibah juga adalah nikmat, jadi kita tidak harus mengeluh, menyalahkan takdir yang telah ditetapkan Allah SWT. Jangan anggap musibah yang menimpa sebagai petanda malang tetapi ianya sebagai jalan penghapus dosa-dosa lampau kita. Ketahuilah, ada sebab mengapa Allah SWT memberikan ujian ini kepada kita semua. Jadi, usah mudah melatah atau mengeluh jika kita ditimpa musibah. Tidak kiralah apa jua bentuk ujian berkenaan, hadapinya dengan sabar. Begitu besar pahala orang yang bersabar dalam saat-saat menghadapi musibah. Allah akan memberikan ganjaran syurga bagi Muslim yang bersabar seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Dari Abu Amamah rRA, Rasulullah SAW bersabda, Nabi Muhammad SAW bersabda, "Allah SWT berfirman: Hai anak Adam, jika kamu bersabar dan ikhlas saat ditimpa musibah, maka Aku tidak akan meredhoi bagimu sebuah pahala kecuali syurga." (HR Ibnu Majah).

Oleh itu, tingkatkan kesabaran takala menghadapi musibah dan ingatlah setiap musibah yang Allah turunkan pastinya terkandung hikmat tersembunyi yang di luar pengetahuan kita. Justeru, jika hati kita gusar dan sedih apabila dilanda musibah, perbanyakkanlah zikir yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Sabda Baginda:

“Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’ (Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung), kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga.” (HR Bukhari).

Sumber: Sinar Plus (24 Julai 2020)


 

Comments