JAGALAH AKHLAK DI MEDIA SOSIAL JANGAN MENGAIBKAN ORANG LAIN AGAR ALLAH SWT TIDAK MEMBUKA AIB KITA DI AKHIRAT KELAK



Semua sudah sedia maklum bahawa Islam melarang keras umatnya dari menyebarkan aib seseorang apatah lagi jika sesama Muslim. Salah satu ciri akhlak Islam ialah menutup aib seorang. Ketika seseorang Muslim melihat yang lain memerlukan aibnya ditutup ia pun menutup. Ketika ia memerlukan pertolongan ia pun menolongnya. 

Rasulullah SAW bersabda: 

"Tidaklah seorang hamba menutup aib hamba yang lain di dunia kecuali pada hari kiamat akan menutup aibnya.” (HR Muslim).

Namun, pada hari ini kita boleh lihat umat manusia khususnya golongan Muslim tidak segan-segan untuk menyebarkan aib sesama Muslim di pelbagai platform media sosial. Salah satu yang menjadi trend terkini adalah penyebaran aib melalui aplikasi "TikTok". Jika dilihat, kebanyakan video yang menggunakan aplikasi tersebut menjadi lubuk umat manusia untuk menyebarkan aib perihal "dalam kain" mereka dan orang lain. Ada juga dikalangan mereka yang sanggup menjadikan keaiban itu sebagai sebuah "content" demi meraih jumlah "followers" tertinggi. 

Lebih menyedihkan, apabila aib itu disebarkan secara berperingkat. Bagaimana? Dengan memuatnaik beberapa bahagian video beserta caption "kalau nak tengok part kedua dan seterusnya sila tag" atau "bersambung part kedua". Adakah ini yang dianjurkan dalam Islam?! Tidak dinafikan ada juga kebaikan menerusi penggunaan aplikasi tersebut sebagai contoh ia digunakan untuk pemasaran perniagaan atau video-video dakwah pendek. Akan tetapi, umat Islam hari ini lebih memilih ke arah keburukan berbanding kebaikan demi untuk menjadi popular. 

Asy - Syaikh Muhammad bin Shalih al - Utsaimin R.A berkata: 

"Ketahuilah bahawa sesungguhnya jika engkau menyebarkan aib-aib saudaramu, maka sesungguhnya Allah akan menguasakan terhadap dirimu orang lain yang akan menyebarkan aib-aibmu sebagai balasan setimpal." (Tafsir Surah al - Hujurat, jilid 1hlm, 52). 

Ingatlah, kita sesama manusia apalagi sesama Muslim harus menjaga aib sesama sendiri. Allah SWT amat membenci perbuatan membuka aib manusia lain hanya untuk tujuan keseronokkan. Mengapa harus ada di kalangan kita yang bersikap sedemikian sedangkan Allah SWT menutup dan menjaga aib kita serapat mungkin? 

Berhati-hatilah, kita juga adalah manusia dan mempunyai aib masing-masing. Saat aib kita pula terbuka, ingatlah itu adalah balasan dari Allah SWT atas semua perbuatan kita. 


Sumber: Harian Metro (19 Februari 2019)

Comments