JANGAN BERSIKAP SOMBONG DAN MEMBANGGA DIRI KERANA IA ADALAH SIKAP YANG DIBENCI OLEH ALLAH SWT

 


Islam melarang setiap umatnya untuk mempunyai sikap sombong di dalam diri walaupun sebesar zarah. Ini kerana orang yang bersikap sombong dan terlalu membangga diri. Kesombongan dan membangga diri merupakan keburukan bagi kehidupan. Mengapa? Orang sombong dan membangga diri tidak mungkin akan berbuat adil dan ikhlas karena selalu meremehkan orang lain dan menganggap dirinya sahaja yang sempurna sehingga merasa dirinya paling benar. Sifat sombong dan angkuh ini adalah sifat yang dilarang serta dibenci oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman:

"Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (karena sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri." (QS Lukman: 18).

Sebetulnya sombong bukanlah lagi suatu sikap tetapi sebenarnya suatu penyakit. Apabila dikelompokkan sebagai penyakit, maka perlulah dirawat penyakit sombong tersebut. Kesombongan adalah dosa pertama yang dibuat oleh Iblis pada saat diperintahkan sujud kepada Adam. Tetapi Iblis menolak untuk sujud karena merasa dirinya lebih mulia daripada manusia (Adam) yang diciptakan dari tanah, sementara Iblis berasal daripada api. Kesombongan Iblis tersebut menyebabkan kemurkaan Allah dan Allah melaknatnya. Kesombongan Iblis tersebut adalah dosa yang pertama dan dosa pertama yang dilaknat oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat; Sujudlah kalian kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia menolak dan menyombongkan diri dan dia termasuk golongan orang yang kafir." (QS al – Baqarah: 34).

Sifat sombong ini tidak membawa sebarang faedah. Malah ia hanya akan membawa kebencian Allah SWT dan manusia itu sendiri. Namun, kadang-kadang ia boleh membawa kepada isu yang lebih parah apabila kesombongan itu menjadikan individu berkenaan enggan tunduk kepada kebenaran (Islam) dan meremehkan perintah Allah SWT yang boleh nembawa kepada kekufuran. 

Sombong kepada sesama manusia, bukan hanya menjadikan hubungan renggang. Malah ia menghadirkan kebencian dan kemarahan di kalangan manusia itu sendiri. Bukan simpati atau sokongan yang diraih, tetapi meluat pula jadinya.

Selain itu,  kesombongan sehingga menolak kebenaran Islam adalah dosa besar dan balasannya adalah  neraka jahannam. Jadi apa yang harus disombong di muka bumi ini? Sementara bahaya kesombongan sehingga meremeh atau menolak kebenaran (Islam) itu adalah sangat berat sama ada di dunia mau pun di akhirat.

Dari Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda: 

 “Tidak akan masuk syurga, orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari kesombongan.” (HR Muslim).

Ketahuilah, sifat sombong itu adalah sifat Iblis. Iblis dihumban ke neraka kerana bersikap sombong yang  mengingkari perintah Allah SWT untuk sujud kepada Nabi Adam A.S kerana merasa diri itu terlalu hebat diciptakan dari api. Adakah kita mahu menjadi sahabat kepada syaitan laknatullah dengan bersikap sombong dan terlalu membangga diri sedangkan kita ini manusia yang serba kekurangan dan dhaif? 

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa bersikap merendah diri dan memuji Allah SWT atas segala nikmat yang kita perolehi. Tanpa kurniaan Allah SWT, kita tidak mungkin ada sedikit kelebihan yang digunakan untuk membantu orang lain.

Jadilah seorang yang “ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk”. Tidak terlalu sombong dan terlalu membangga diri.

Sumber: Laman web Karya Bestari (https://www.karyabestari.com/Artikel/640/Jangan-Jadi-Orang-Sombong)


Comments