AWAS DENGAN PROVAKASI HIZBUT TAHRIR MENGGUNAKAN MEDIA MASSA UNTUK MEMBURUKKAN KERAJAAN DAN PIHAK BERKUASA AGAMA SEOLAH-OLAH MEREKA PEJUANG ISLAM MESKIPUN DIFATWAKAN SESAT

 


Pada 27 Oktober 2021 lalu telah berlakunya penangkapan terhadap seorang anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bersama isteri dan anaknya serta merampas buku-buku yang berkaitan dengan ideologi HTM. 

Sejurus penangkapan tersebut, jurucakap HTM iaitu Abdul Hakim Othman telah membuat ‘facebook live’ seolah-olah memprovokasi pihak jabatan agama terhadap penangkapan tersebut. Tujuan tersebut dilihat seolah-olah ingin meracuni rakyat supaya membenci Jabatan Agama dan penguasa agama dengan melabel tidak adil, zalim, tidak islamik dan sebagainya.

Ironinya, pertubuhan HTM sangat bijak dengan memainkan isu Khilafah terutamanya kini di pelbagai medium media sosial dengan mendakwa mereka berjuang untuk menegakkan Khilafah Islamiyah sehingga mendapat simpati daripada umat Islam untuk menyokong pergerakannya. Namun, hakikatnya pengasas Hizbut Tahrir iaitu Taqiyuddin an-Nabhani telah mengeluarkan ajaran dan fahaman bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) melalui tulisan dan risalah-risalah yang diterbitkan.

Dalam usaha untuk menegakkan sistem Khilafah, mereka mencetuskan kekacauan dengan pelbagai ciapan di media sosial serta menyeru masyarakat menolak sistem pemerintahan dan sistem pentadbiran yang ada secara total dan berusaha ke arah menggulingkan kerajaan yang sah kerana dianggap sekular dan menjalankan sistem demokrasi.

Berhubung dengan hukum dan syariat, Hizbut Tahrir mengeluarkan hukum-hukum yang pelik dan bertentangan dengan fahaman ASWJ seperti keharusan bersalaman di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, boleh mencium perempuan yang ‘ajnabiyyah’, tidak haram berjalan untuk tujuan berzina tetapi yang haram hanya perbuatan zina sahaja. Malah sesiapa yang mati tidak berbai’ah kepada Khalifah, mereka dianggap sebagai mati dalam jahiliyyah dan sebagainya.    
 
Perkara tersebut memperlihatkan bahawa mereka semakin aktif dan berani mempengaruhi masyarakat melalui medium media sosial serta menyebarkan ideologi-ideologi Hizbut Tahrir yang hampir sama dengan fahaman kumpulan militan yang mengkafirkan pemimpin yang menggunakan sistem demokrasi sama ada melalui penulisan artikel, blog, infografik dan sebagainya. 

Fenomena ini perlu dibendung sebaiknya supaya tidak terus berkembang dan meniupkan api kebencian umat Islam terhadap kerajaan yang dianggap tidak Islam. Hal ini sangat bahaya jika dibiarkan meracuni pemikiran rakyat dan terus merebak sebelum ianya menjadi bom jangka yang sukar dikawal.

Sumber: Ahmad Faidzurrahim (2012), Buku 'Menyingkap Hakikat Sebenar Hizbut Tahrir' dan Berita Harian – 27 Oktober 2021


Comments