JADILAH SEORANG YANG PEMAAF KERANA SIFAT PEMAAF ADALAH SIFAT IMAN YANG PALING UTAMA SERTA MENDAPAT KEAMPUNAN DARI ALLAH SWT
Islam telah mengajarkan kepada umatnya agar sentiasa menjadi seorang yang pemaaf. Sesungguhnya menghiasi diri dengan sifat pemaaf adalah amat penting dalam membina dan membangunkan kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara. Sifat pemaaf merupakan sifat iman yang paling utama seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Iman yang paling utama adalah sabar dan memaafkan." (HR Bukhari).
Bahkan Rasulullah SAW juga menjelaskan tentang keistimewaan sifat pemaaf dimana orang yang pemaaf akan diampuni oleh Allah SWT akan dosa-dosanya. Rasulullah SAW bersabda:
"Berkasih sayanglah, maka kamu akan dirahmati dan berikanlah kemaafan nescaya Allah akan mengampuni kamu." (HR Bukhari).
Namun lumrah kehidupan, setiap manusia pasti mempunyai ego yang menebal di dalam diri. Amat payah untuk kita memaafkan seseorang yang telah melukai hati dan perasaan kita.
Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia adalah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam. Ketika manusia diciptakan oleh Allah SWT, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Firman Allah SWT:
“Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” (QS Ali-Imran ayat 132).
Ketahuilah bahawa apabila memaafkan orang lain, ia bukan sahaja membuatkan hati si pesalah tadi berasa tenang, tetapi Allah SWT turut akan menurunkan ketenangan itu kepada kita. Bahkan, Allah SWT juga begitu memuliakan mereka yang memaafkan orang lain. Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah. Sabda Rasulullah SAW:
“Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (HR Bukhari).
Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang, hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Kerana itu, selalulah kita cuba untuk memupuk sifat pemaaf di dalam diri. Bermulalah dengan perkara yang kecil. Bagi orang yang bersifat pemaaf, tiada tersimpan perasaan marah dalam hatinya. Sebab itu, hati orang yang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya. Alangkah beruntungnya seseorang itu menjadi seorang yang pemaaf kerana bukan sahaja ditinggikan darjat oleh Allah SWT dan disayangi oleh Rasulullah SAW, bahkan dicintai oleh para malaikat. Allah SWT berfirman:
"Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil." (QS al-A'raf, ayat 199).
Sumber: Harian Metro (11 Jun 2019)
Comments
Post a Comment