JANGAN JADIKAN MEDIA SOSIAL TEMPAT UNTUK MENDEDAHKAN AIB (SENDIRI DAN ORANG LAIN) KERANA IA ADALAH PERBUATAN DOSA BESAR YANG DIMURKAI ALLAH SWT
Tidak salah untuk kita bermain media sosial kerana ia boleh dianggap satu keperluan mengikut arus teknologi masa kini untuk mendapatkan maklumat terkini dengan pantas. Malah, agama Islam juga tidak melarang umatnya untuk sama-sama bersaing ke dalam dunia teknologi serba canggih ini dengan menggunakan platform yang sedia ada untuk dijadikan tempat berdakwah dan menyampaikan perkara-perkara yang baik
Akan tetapi, amat malang sekali buat umat manusia hari ini khususnya umat Islam apabila menggunakan laman media sosial mereka untuk menyebarkan aib sendiri dan orang lain. Contoh yang paling ketara adalah pasangan suami isteri yang sudah berpisah menggunakan platform media sosial untuk memalukan antara satu sama lain. Bukan itu sahaja, ada juga contoh yang kerap dilihat seperti perbuatan memalukan rakan-rakan hanya kerana perkara yang remeh.
Inikah contoh akhlak umat Islam? Itu belum termasuk video sebahagian mereka yang terkinja-kinja untuk meraih perhatian. Rasulullah SAW bersabda:
"Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali mereka-mereka yang menunjuk-nunjuknya.."
(HR Bukhari).
Ingatlah, Allah SWT telah menutup keaiban kita dan setiap golongan Muslim di muka bumi ini, mengapa kita harus mendedahkannya untuk tatapan awam? Tidak akan merasa tenang seseorang Muslim itu apabila dia mendedahkan aib saudara seagamanya sendiri. Bahkan mendapat kemurkaan Allah SWT dan balasan dosa yang besar.
Marilah kita berdoa kepada Allah SWT agar dijauhkan daripada perkara buruk seperti itu dan kita juga dijauhkan dari memiliki sifat buruk tersebut. Ketahuilah, seorang Muslim akan menjaga aib saudara seagamanya sampai bila-bila. Sabda Rasulullah SAW:
"Janganlah kalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang Muslim, maka Allah akan membuka aibnya." (HR at-Tirmizi).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW mengingatkan agar setiap Muslim berusaha menutup aib saudara Muslim yang lain, bukan membuka aib mereka seperti sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslim yang lain, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (HR Ibn Majah).
Sumber: Harakah Daily (16 Januari 2020)
Comments
Post a Comment