JAUHI BUDAYA 'PRANK' (CUBA MENJATUHKAN MARUAH SESEORANG) KERANA IA ADALAH AKHLAK YANG KEJI DAN DILARANG KERAS DALAM ISLAM

 



Apabila berbicara tentang soal gurauan, adatlah sebagai manusia adakalanya kita perlukan sedikit hiburan untuk menceriakan hari kita. Namun di dalam Islam, gurauan kasar atau dalam erti kata moden hari ini yang disebut sebagai 'prank' tidak diterima sama sekali di dalam agama Islam. Firman Allah SWT: 

"...dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain.." (QS al - Hujurat: 11). 

Seperti isu yang berlaku baru-baru ini dimana seorang ibu meluahkan isi hatinya di laman sosial Facebook apabila kelakuan anaknya yang berubah dari hari ke hari akibat terlalu taksub dengan sebuah channel youtube tempatan yang memaparkan budaya 'prank' yang melampau. 

Dalam hal ini, gurauan atau 'prank' yang melampau seperti menipu orang lain, menakut-nakutkan, membuka aib pada orang ramai, dan tidak boleh diterima oleh orang yang diguraukan maka ianya adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya. Tambahan lagi, video 'prank' yang dirakam tersebut dimuat naik dalam media sosial dan akan ditonton oleh pengguna-pengguna lain, sekali gus menyebarkan aib seseorang yang menjadi mangsa. 

Daripada Abdurrahaman Bin Abu Laila, beliau berkata, para sahabat Nabi Muhammad SAW bermusafir bersama baginda. Salah seorang dari mereka tertidur lalu ada sebahagian sahabat yang mengambil dan menarik tali yang ada bersamanya sehingga orang yang tidur itu terkejut, maka Rasulullah SAW bersabda: 

"Tidak halal bagi seorang Muslim membuat saudara muslimnya terkejut." (Sunan Abu Daud). 

Ingatlah, gurauan yang melampaui batas sangat dibenci oleh Allah SWT kerana risiko yang terjadi selepas itu mungkin boleh membahayakan kesihatan mental si mangsa. Boleh jadi, mangsa akan mengalami trauma sepanjang hayat. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan (menyiarkan) tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat..." (QS an-Nur: 19).

Sumber: Harakah Daily (7 Mei 2021)

Comments