JAUHI SIFAT DENDAM DAN AMARAH KERANA IA DIKUASAI SYAITAN SEBALIKNYA HAPUSKANNYA MELALUI AMALAN ZIKIR DAN DOA

 


Di dalam agama Islam, sifat marah dan dendam adalah termasuklah di dalam salah satu sifat mazmumah yang amat dibenci oleh Allah SWT. Islam sebagai agama yang lengkap dan indah, amat menegah umatnya daripada melayani sifat marah, apa lagi berkelakuan baran keterlaluan dan mendendami orang lain. 

Nabi Muhammad SAW banyak kali mengingatkan umat Baginda mengenai kejinya nafsu marah yang tidak terkawal kerana ia antara pintu digunakan syaitan dan iblis dalam menguasai manusia. Saat manusia marah, syaitan memasuki salur darah individu menyebabkan berlaku hilang pertimbangan akal fikiran, manakala wajah mulai merah dengan degupan jantung berlari kencang. Rasululah SAW bersabda:

"Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah." (HR Bukhari).

 Mengambil contoh isu berkenaan tentang hukuman yang dikenakan kepada 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didapati bersalah atas jenayah membuli sehingga mengakibatkan kematian Allahyarham Zulfarhan Osman empat tahun lalu, ramai di antara kita meluahkan rasa tidak puas hati. Ada sebahagiannya meluahkan amarah dan tidak kurang juga yang berdendam dan mengeluarkan perkataan yang tidak enak termasuklah berdoa agar keluarga pesalah ditimpa bencana. Firman Allah SWT:

“Dan orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik.” (QS Ali ‘Imran: 134).

Benar, perbuatan mereka itu ternyata salah di sisi undang-undang kerana telah melakukan jenayah tetapi siapakah kita untuk menilai, menyimpan dendam dan amarah serta mendoakan sesuatu bala kepada keluarga mereka?! Islam tidak mengajarkan perkara sebegitu walaupun berlakunya ketidakadilan dari segi hukuman kepada para pesalah. Dalam hal ini, apa yang boleh kita lakukan?

Sentiasalah mengingati Allah SWT dan berzikir serta berdoa. Hal itu akan membuat hati menjadi lebih tenang dan menghilangkan hawa nafsu termasuk perasaan dendam dari hati kita. Allah SWT berfirman:

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram” (QS ar-Ra’du: 28).

Ingatlah, tiada gunanya berdendam atau menyimpan amarah yang terlalu mendalam terhadap sesuatu perkara. Seseorang yang menyimpan dendam pasti berada dalam keadaan tidak senang hati. Mereka merasakan semua serba tidak adil dan perlukan tindakan untuk menuntut bela. Apapun yang terjadi, biarlah Allah SWT sahaja yang membalas kezaliman atau keburukan mereka terhadap keluarga mangsa. Hanya Allah SWT yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui semua yang terjadi dan hanya Dia yang berhak menentukan balasan yang setimpal. Apa yang penting, kita sebagai hambaNya hanya perlu berdoa moga keadilan dituntut dan memaafkan mereka.

Sumber: Harian Metro (3 Julai 2018).


Comments