JAUHILAH HASAD DENGKI KERANA IA ADALAH PENYAKIT HATI YANG MEROSAKKAN DIRI MALAH AKAN MENGHAPUSKAN AMAL KEBAIKAN YANG DILAKUKAN

 


Sudah menjadi adat dunia apabila ada sebahagian manusia yang mempunyai sifat hasad dengki. Tidak kiralah sesama agama atau berlainan, perasaan itu pasti ada di sekeliling kita. Wahai umat Islam, bukankah di dalam al – Quran dan hadis telah melarang untuk wujudnya perasaan dengki di dalam diri? Sabda Rasulullah SAW:

“Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu.” (HR Abu Daud).

Perasaan kurang senang adalah benih sifat iri hati dan hasad dengki. Iri hati ialah sifat yang muncul akibat dari perasaan ego dan sombong sehingga tidak boleh menerima serta melihat orang lain melebihi dirinya. Lantas, rasa iri hati membuahkan pula sifat atau penyakit hasad dengki. Kebanyakan orang yang menyimpan dendam, bergelora dadanya tatkala mereka mendapati apa yang diidamkan terlepas dari tangan dan berada dalam genggaman orang lain. Seseorang yang bercita-cita supaya nikmat diperoleh orang lain itu lenyap dan hilang boleh menjadi virus yang membahayakan kesejahteraan masyarakat.

Hakikatnya, perasaan dengki adalah salah satu perangai atau sifat buruk yang telah menghinggapi manusia sejak dari dahulu lagi. Ia bukan sahaja terjadi dalam dunia politik, perniagaan, pekerjaan dan persahabatan, malahan turut berlaku dalam suasana kekeluargaan. Orang yang berpenyakit hasad dengki disifatkan sebagai kufur nikmat kerana seolah-olah tidak redha dengan ketentuan qada dan qadar Ilahi. Sebab itu, apabila hasad bermaharajalela menguasai diri seseorang, maka segala kebaikan akan terhakis.

Maka apa yang kita harus lakukan untuk mengelakkan diri kita dari menjadi sebahagian yang iri hati atau mempunyai hasad dengki? Seorang Muslim hendaklah mempunyai pemikiran luas, hati bersih dan akhlak terpuji sehingga dia dapat memandang sesuatu dengan melihat kepentingan umum bukan kepentingan diri sendiri. Dengan cara ini, seorang Muslim akan hidup dengan wajah yang jernih dan hati lapang daripada segala perasaan dendam kerana perasaan dendam atau dengki adalah penyakit yang amat berbahaya. Ingatlah, hasad dengki kepada orang lain hanya akan mendatangkan kesan buruk terhadap diri sendiri di masa depan. Mohonlah kepada Allah SWT agar kita dijauhkan daripada sifat mazmumah seperti itu. Firman Allah SWT:

“Dan barang siapa mengerjakan keburukan atau menganiaya diri sendiri, kemudian memohon pengampunan Allah, maka ia akan mendapati Allah itu adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (QS An-Nisa: 110).

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah


Comments