MAJLIS FATWA DALAM DAN LUAR NEGARA MENGHARAMKAN HIZBUT TAHRIR KERANA IDEOLOGINYA BERTENTANGAN DENGAN AJARAN ISLAM - APA LAGI ALASAN HIZBUT TAHRIR UNTUK MEMPERTIKAIKANNYA?
Pengasas Pergerakan Hizbut Tahrir, Syeikh Taqiyuddin Nabhani, mendakwa bahawa mereka merupakan sebuah parti politik antarabangsa berideologi Islam yang bergerak dalam dakwah dan politik. Mereka mendakwa bahawa hukum Islam telah ditinggalkan oleh umat Islam, sama ada secara individu, bermasyarakat mahupun negara. Oleh itu, dalam dakwahnya, Hizbut Tahrir ditubuhkan bertujuan untuk menyeru umat Islam termasulah para pemimpin agar kembali menerapkan Islam di dalam kehidupan mereka.
Jika dilihat secara umum, matlamat Hizbut Tahrir itu tidak salah, namun adakah cara pelaksanaannya menepati sepertimana yang diajarkan di dalam al-Quran dan as-Sunnah adalah perkara yang perlu disoroti semula.
Sebagai contoh, dalam mencapai matlamatnya untuk menegakkan sebuah ‘Daulah Islamiyah’, pergerakan Hizbut Tahrir membenarkan anggota-anggotanya untuk meminta pertolongan daripada mana-mana kuasa yang kuat walaupun daripada kuasa bukan Islam. Sedangkan pada masa yang sama mereka turut mengkafirkan semua pemimpin Islam yang memerintah mengikut sistem sekular seperti demokrasi dan sebagainya dan wajib diperangi.
Percanggahan ideologi yang diterapkan Hizbut Tahrir ini menunjukkan bahawa mereka sendiri tidak jelas dengan apa yang cuba dicapai. Walaupun matlamatnya secara jelas difahami mempunyai niat yang baik iaitu untuk menegakkan ‘Daulah Islamiyah’, namun ingatlah bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Jika cara untuk mendapatkan sesuatu yang diingini itu tidak selaras dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah, maka sebagai masyarakat Islam yang bertamadun dan boleh berfikir dengan sebaiknya, adakah pergerakan Hizbut Tahrir ini perlu disokong?
Tambahan pula, ideologi yang dibawa pengasasnya yang merupakan bekas pemimpin jihad gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir dan beberapa anggota serta pemimpin pergerakan Hizbut Tahrir dikatakan mempunyai hubungan dengan pemimpin-pemimpin al-Qaeda bukankah telah menunjukkan ianya adalah sebuah pergerakan radikal yang perlu dipantau dan disekat perkembangannya?
Sedarlah bahawa pergerakan Hizbut Tahrir sebenarnya hanya bertopengkan Islam sedangkan interpretasi proses untuk mencapai matlamatnya adalah bercanggah sama sekali dengan ajaran Islam yang sebenar. Jadi atas alasan apakah lagi Hizbut Tahrir merasakan fatwa pengharaman terhadap pergerakannya itu perlu dibahas? Bukankah fatwa tersebut sudah terang dan jelas?
Sumber: Journal of Critical Reviews- Vol. 7(1)2020, Journal Terrorism and Political Violence (2010), No. 22(4), Buletin Tentera Darat (2016)
Comments
Post a Comment