MENYANGKAL HAK KEBEBASAN FAHAMAN LIBERAL!!! HAK KEBEBASAN BUKAN BERMAKNA BEBAS TANPA BATASAN TETAPI KEBEBASAN ISLAM MESTILAH BERLANDASKAN AL-QURAN DAN AS-SUNNAH
Liberalisme dalam sejarahnya menginginkan wujudnya kepelbagaian dalam gaya hidup dengan cara melindungi hak dan kepentingan golongan kelas menengah, kelompok minoriti agama, kelas pekerja, orang miskin, minoriti kaum, wanita, LGBT dan sebagainya.
Sebagaimana lazimnya, suatu fahaman dan aliran pemikiran tidak lahir dalam ruang vakum. Demikian juga liberalisme, ia lahir sebagai tindak balas terhadap pemerintahan kuku besi, feudalisme dan teokrasi yang menjadi pengalaman pahit masyarakat Barat. Dalam satu perhimpunan yang menghimpunkan parti-parti politik liberal sedunia, terdapat beberapa teras utama yang menjadi tunjang perjuangan golongan liberal. Antaranya ialah:
i. Mewujudkan masyarakat yang bebas, terbuka dan saksama, dimana nilai kebebasan mesti
diimbangi dengan nilai keserataan
ii. Hak asasi manusia
iii. Ekonomi pasaran sosial, perdagangan bebas dan pembangunan
Ringkasnya pemikiran liberalisme memberi penekanan yang mendalam terhadap kebebasan individu, sikap keterbukaan, meraikan kepelbagaian dan dalam masa yang sama menekankan konsep kesetaraan dan kesaksamaan. Hal ini lah yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin yang Islam tetapi berfikiran liberal kononnya bagi menyeimbangkan wacana kewajipan dan kebebasan dalam Islam.
Sebagai contoh apabila ada pihak yang ingin mengharamkan penjualan arak atau pengharaman judi dalam sesebuah negeri maka mula lah ada pihak yang pada asasnya juga merupakan seorang Muslim mempertahankan perkara tersebut dengan menyatakan bahawa itu adalah hak individu untuk buat apa sahaja dan sekatan yang dikenakan menunjukkan bahawa hak kebebasan sepertimana terpakai kepada semua rakyat menurut Perlembagaan Persekutuan telah disekat.
Sedangkan sebagai seorang yang beragama Islam, sudah sedia maklum bahawa arak dan judi adalah haram, maka tidak ada sebarang kompromi untuk mempertikaikan hukum yang telah ditetapkan al-Quran dan as-Sunnah semata-mata atas paksi hak kebebasan. Begitu juga dengan perkara-perkara lain terutamanya berkaitan dengan akidah dan jenayah Islam, tidak perlu dipertikaikan ‘sekatan kebebasan’ yang secara jelasnya dilarang dalam Islam kerana sesiapa yang memahami bagaimana Islam itu diamal dan dipraktikkan sudah tentu akan sabar dengan segala perintah Allah demi mendapat ganjaran di akhirat kelak.
Justeru itu, sebagai seorang yang beragama Islam, betulkan minda dan sentiasa mencari ilmu yang benar seperti yang termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah, baiki diri dan baiki akhlak, amalkan serta dakwahlah kepada orang lain, janganlah mudah terpengaruh dengan ideologi-ideologi liberal yang tampak moden tetapi sebenarnya jelas terpesong dari ajaran agama sebenar. Bertaubatlah jika sudah terpengaruh dan dipesongkan oleh fahaman liberal yang menyesatkan. Sebelum matahari terbit dari sebelah Barat atau nyawa sudah berada di kerongkong, nescaya masa masih ada dan masih belum terlambat untuk bertaubat.
Sumber: al-Bayan, Siri 12 (2020) – SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Comments
Post a Comment