SEORANG MUKMIN ITU IBARAT SALAH SATU ANGGOTA BADAN MUKMIN YANG LAIN DAN PERLU SALING MEMBANTU SEMASA KESUSAHAN DEMI PERSAUDARAAN ISLAM
Semangat tali persaudaraan itu adakalanya diuji ketika salah seorang daripada saudara seagama kita dilanda musibah. Tidak kiralah musibah apa sekalipun, di sini kita dapat lihat bagaimana semangat saudara seagama dalam membantu saudara seagama yang lain. Seorang Mukmin ini boleh diibaratkan seperti salah satu anggota badan kepada Mukmin yang lain kerana masih diperlukan untuk membantu antara satu sama lain. Seperti sabda Rasulullah SAW:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya).” (HR Muslim).
Perumpamaan ini menunjukkan betapa pentingnya persaudaraan sesama ummat Islam, kesatuan, saling menyayangi, saling kuat-menguatkan dan prihatin antara satu dengan yang lain. Perasaan ini semuanya lahir dari jiwa yang sihat imannya. Seorang Mukmin tidak wajar hanya memikirkan tentang diri sendirinya sahaja. Dia mesti mengambil tahu dan menolong saudara seagamanya sekiranya ditimpa kesusahan. Bukan itu sahaja, malah berasa susah hati dan tidak senang duduk melihatkan orang Islam yang lain ditimpa kesusahan. Sebagai seorang Mukmin, adalah menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong jika ada yang mengalami kesusahan.
Begitu jugalah halnya dengan apa yang terjadi kepada saudara seagama kita yang dilanda musibah banjir teruk baru-baru ini. Sebagai umat Islam, sudah tentu kita turut terkesan dengan musibah yang menimpa mereka. Mereka kehilangan harta-benda dan juga ahli keluarga, jadi sudah menjadi kewajipan kita untuk menolong mereka semampu upaya kita. Janganlah kita bersikap mementingkan diri sendiri hanya kerana kita tidak ditimpa musibah. Ingatlah, hidup ini ibarat roda, kadangkala kita di atas kadangkala kita di bawah. Berbaktilah kita sesama saudara Islam tidak kira masa dan tempat kerana mungkin suatu hari kita pula akan memerlukan pertolongan mereka.
Semoga kita sama-sama bermuhasabah diri dan dapat memperbaiki sikap kita terhadap umat Islam yang lain. Jadilah Mukmin yang benar-benar mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW, yang saling menitikberatkan saudara segamanya ibarat satu bangunan atau satu badan yang saling menguat di antara satu sama lain dan saling merasa apa yang dirasakan oleh saudara seMuslimnya.
Firman Allah SWT:
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah." (QS Ali ‘Imran: 110).
Sumber: Koleksi Hadis Jimaain Safar, people@utm.my (https://people.utm.my/ajmain/2017/12/07/perumpamaan-mukmin-saling-mencintai/)
Comments
Post a Comment