'BERTABAYYUN' (SELIDIKLAH DULU) DALAM SETIAP BERITA YANG DITERIMA SEBELUM DISEBAR AGAR TIDAK MENIMBULKAN FITNAH SEHINGGA BOLEH MEMUTUSKAN SILATURAHIM
Di akhir zaman ini, kita sebagai umat Islam perlu lebih ber'tabayyun' dalam menerima dan menyampaikan sesuatu berita agar tidak disalahertikan atau lebih tepat lagi jatuh fitnah. Perkataan 'tabayyun' ini diambil dari bahasa Arab dari kata kerja 'tabayyana,' masdarnya 'at-tabayyun'. Ia mempunyai 3 pengertian yang berdekatan seperti berikut:
1.Menjelaskan sesuatu masalah hingga terbukti perkara yang sebenarnya.
2.Mempertegas hakikat sesuatu.
3.Tidak tergesa-gesa dan berhati-hati terhadap sesuatu.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (QS Al – Hujurat: 6).
Mengambil contoh kejadian baru-baru ini di mana seorang pemuda dimandikan seperti jenazah oleh kariah masjid di sebuah negeri akibat mencuri tabung masjid dan video itu viral di seluruh pelosok Malaysia. Ada yang menerima video itu sebagai bentuk positif dan tidak kurang juga yang sebaliknya. Apa yang terjadi? Ramai yang menuduh kariah masjid sengaja mencederakan pemuda terbabit dan mengaibkannya lalu mempersoalkan mengapa tidak dilaporkan sahaja kepada pihak berkuasa. Akhirnya, fitnah telah jatuh ke atas pengurusan masjid tersebut.
Sebenarnya di dalam hal ini, si penyampai berita perlulah memberikan keterangan yang tepat dalam menyampaikan sesuatu berita, jika ia ingin dijadikan pengajaran. Bagi si penerima berita pula, mereka harus menerima berita itu sebagai satu bentuk pengajaran dan bukannya membuka keaiban hingga pihak lain pula terpalit dengan fitnah warga maya. Bukankah di dalam Islam sudah diajarkan bahawa setiap berita yang disampaikan perlu di'tabayyun' (diselidek dulu) oleh si penerima berita agar tidak mendatangkan fitnah di kemudian hari? Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” (QS Al – Isra’: 36).
Tidak ber'tabayyun' di dalam sesuatu berita itu boleh menyebabkan terjadinya prasangka yang buruk berlaku di kalangan masyarakat serta keadaan yang kurang tenang. Bukan itu sahaja, ia boleh menyebabkan terputusnya tali silaturahim sesama umat Islam. Oleh itu dalam menyampaikan berita, seseorang itu mesti bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya. Justeru, kita seharusnya berhati-hati dalam setiap aspek yang dilakukannya. Hal ini kerana Allah SWT memandang berat terhadap perbuatan ini dan Nabi SAW memperingati umatnya supaya berhati-hati di dalam menyampaikan sesuatu berita seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:
“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.” (HR Tirmizi).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment