JANGAN BERTELAGAH! BERSATULAH DEMI MENGUKUHKAN UKHUWAH SESAMA UMAT ISLAM BAGI MENGHADAPI CABARAN DAN UJIAN YANG MENDATANG

 

Islam menuntut umatnya agar sentiasa menjadi pendamai dalam sebarang situasi kehidupan. Setiap Muslim perlu memainkan peranan di dalam usaha penyatuan sebaliknya mengelakkan diri dari memarakkan api permusuhan sesama insan. Ajaran Islam menuntut manusia untuk mencari ruang kedamaian bukan persengketaan yang memecahbelahkan. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (QS Al – Hujurat: 10).

Dalam keadaan Malaysia yang sedang dilanda ujian dan musibah banjir yang hampir melumpuhkan seluruh negara ini, kita sebagai umat Islam hendaklah saling mengukuhkan ukhuwah sesama Muslim dan mencari solusi yang tepat bagaimana kita hendak menangani masalah seperti ini. Janganlah kita bertelagah dan saling menuding jari kerana ia tidak akan membawa sebarang penyelesaian dalam masalah. Lihat apa yang jadi pada hari ini, semua orang tidak kira pemimpin atau rakyat marhaen, yang miskin dan yang kaya saling menyalahkan antara satu sama lain saat dilanda ujian. Bukan ini yang diajarkan oleh agama Islam. Rasulullah SAW bersabda:

“…Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi seorang Muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketakwaan itu di sini - sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.” (HR Muslim).

Bersatulah! Hentikanlah segala pertelagahan sebaliknya hadapi ujian ini sebagai sebuah pasukan kapal yang belayar di mana anak-anak kapal akan berdiri teguh di belakang nakhodanya ketika kapal mereka dilanda ribut dan taufan. Mereka saling berganding bahu dalam menempuh badai. Begitu jugalah dengan kita sebagai umat Islam, sentiasa bersatu mendepani cabaran dan ujian ini bersama-sama agar kita menjadi semakin kuat di hari mendatang apabila datangnya ujian dan musibah itu sekali lagi. Sabda Rasulullah SAW:

“Ada tiga golongan yang dapat merasakan manisnya iman: orang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih dari mencintai dirinya sendiri, mencintai seseorang kerana Allah dan ia benci kembali pada kekufuran sebagaimana ia benci jika ia dicampakkan ke dalam api neraka.” (HR Bukhari).

Sumber: Harian Metro (25 Februari 2020).


Comments