6 TONGGAK KEKUATAN ISLAM UNTUK MEMBINA KEHIDUPAN YANG SEJAHTERA DAN DIREDHAI ALLAH SWT

 


Di era globalisasi hari ini menyebabkan manusia di seluruh dunia berlumba-lumba demi mencapai kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan sejagat. Hal ini tidak sewajarnya dipandang ringan oleh umat Islam, bahkan mereka sepatutnya lebih bersedia menghadapinya dengan bijaksana dan rasional yang berpaksikan iman, akal dan ilmu. 

Oleh sebab itu, dari awal lagi Islam mengingatkan umatnya agar sentiasa bersedia menghadapi apa juga cabaran yang mendatang, terutamanya pada era globalisasi ini dengan berpandukan hidayah petunjuk yang terkandung dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Ini kerana globalisasi yang berlaku pada hari ini turut menyebarkan nilai-nilai kebatilan dan perilaku yang nyata bercanggah dengan nilai Islam dan juga budaya maksiat sehingga mewujudkan suatu gejala sosial yang meruncing di kalangan umat Islam.  Bukankah Saidina Abu Bakar al-Sidiq pernah berpesan kepada umatnya dengan katanya: "Kuatnya umat bukan kerana ramainya, tetapi kerana kukuhnya ikatan dan satu matlamat."  

Islam telah menggariskan beberapa unsur kekuatan yang perlu dibina oleh umat Islam untuk mencapai kehidupan yang sejahtera dan diredhai oleh Allah SWT. Hal ini telah dijelaskan oleh seorang ulama terkenal iaitu Sayyid Sabiq (1915-2000) di dalam bukunya, "Unsur-unsur Kekuatan Dalam Islam". Menurut Sayyid Sabiq, terdapat enam jenis kekuatan yang harus dijana dan direalisasikan dalam kehidupan umat Islam iaitu:
1) Kekuatan akidah, ianya merupakan tonggak yang paling penting dalam proses pembinaan sahsiah Muslim yang sebenar. Ia bermula dengan menanam dan menyuburkan jiwa keimanan yang hanya tunduk dan patuh ke hadrat Allah Yang Maha Berkuasa.

2) Kekuatan ilmu, yang merupakan sumber kekuatan dan ejen pemangkin ke arah kegemilangan serta keunggulan Islam dalam pelbagai lapangan hidup sebagaimana yang pernah dirintis oleh generasi Rasulullah SAW dan sahabat satu ketika dahulu.

3) Kekuatan akhlak, ini kerana akhlak adalah antara mekanisme terpenting dalam Islam sehingga mendapat kedudukan yang istimewa sebagai nilai pengisi dan penyeri binaan asas iman dan Islam. 

4) Kekuatan harta yang juga dianggap sebagai urat nadi kehidupan yang mampu membawa kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

5) Kekuatan jihad yang menurut pengertian syarak ialah berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat yang disasarkan dan juga untuk menegakkan agama Allah SWT di atas muka bumi ini. 

6) Kekuatan ukhuwah. Ukhuwah Islam adalah antara tonggak terpenting yang sama-sama menyumbang ke arah kecemerlangan ummah. Islam amat menganjurkan umat Islam agar mereka membina persaudaraan dan ia merupakan antara intipati dan mesej utama perutusan Islam yang hendak disampaikan kepada umat Islam.

Demikianlah enam kekuatan yang perlu dijana dan dibangunkan oleh umat Islam agar mereka dapat mengharungi arus globalisasi yang membadai kini dengan jayanya. Tanpa keenam-enam tonggak kekuatan ini, agak sukar bagi umat Islam untuk menghadapi persaingan yang hebat tersebut. Malah enam kekuatan inilah senjata utama umat Islam untuk membangunkan kembali era kegemilangan tamadun Islam di persada dunia dalam waktu terdekat ini. In shaa Allah. Allah SWT berfirman:

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” (QS al – Anfal: 60).

Sumber: Harian Metro (9 Februari 2022).


Comments