Hidup kita di atas muka bumi ini sudah pasti mempunyai tujuan hidup sebenar iaitu memperoleh rahmat Allah SWT serta mendapat ganjaran amal yang baik di akhirat kelak. Terdapat banyak cara untuk memperoleh rahmat Allah SWT dan salah satunya adalah berbakti kepada masyarakat dan berbuat baik kepada semua makhluk di alam ini. Orang yang sentiasa memberikan kebaikan kepada orang lain disifatkan sebagai manusia yang paling baik seperti sabda Rasululullah SAW:
"Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain." (HR Bukhari dan Muslim).
Sementara itu, orang yang sentiasa memberi kebaikan kepada orang lain juga akan mendapat kecintaan Allah SWT.
Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi S.A.W bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu Masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh." (HR. Tobarani)
Muslim yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat kepada orang lain. Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat orang lain bahagia antaranya dengan cara meringankan kesusahan seseorang. Contohnya di waktu-waktu pandemik sebegini ternyata ramai yang terkesan akibat ekonomi merudum sehingga menyukarkan untuk menyara diri dan keluarga. Justeru itu, pada kesempatan inilah mereka yang dikatakan ‘golongan kayangan’ perlu mengambil peluang keemasan ini mengumpul sebanyak-banyak pahala dengan cara menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas samada dengan menghilangkan rasa laparnya atau meringankan beban yang sedang dihadapi.
Orang yang menemani saudara Muslim yang lain untuk membantu bagi memenuhi keperluannya, maka itu lebih dicintai Allah SWT daripada dia beriktikaf sebulan di masjid Nabawi. Oleh itu:
1. Jadilah kita orang yang membahagiakan dan menyenangkan orang lain;
2. Berusahalah agar keberadaan kita dalam keluarga, organisasi juga masyarakat memberi manfaat pada yang lain dan tidak memudaratkan;
3. Berusahalah mencipta manfaat dan pencetus kebahagiaan orang lain.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor, 22 JUN 2021
Comments
Post a Comment