KAJIAN BARAT MENUNJUKKAN 1001 KELEBIHAN BERAGAMA (LEBIH-LEBIH LAGI BERAGAMA ISLAM) BERBANDING BERFAHAMAN ATEISME MENGAPA MASIH TERPENGARUH DENGAN ATEIS?

 


Populasi ateis di seluruh dunia adalah sukar untuk ditentukan kerana perbezaan budaya, latar belakang, pemahaman dan mungkin mereka berselindung disebalik kepercayaan agama-agama masyarakat tempatan. Sebagai contoh ada yang ‘kekal’ sebagai Muslim dan masih mengamalkan ibadah seperti seorang yang beragama Islam kerana menganggap diri mereka sudah Muslim secara budaya.

Dalam jurnal ‘Social Psychological and Personality Science’ terdapat sebuah artikel bertajuk ‘Does Religion Stave off the Grave? Religious Affiliation in One’s Obituary and Longevity’. Kajian ini memfokuskan kepada kesan hidup beragama yang berupaya untuk memanjangkan umur seseorang. Ia bukanlah menjadi hujah utama kelebihan beragama, namun sekurang-kurangnya ia boleh menjadi sokongan bagi membezakan mereka yang beragama dan tidak beragama.

Hasil kajian yang dijalankan oleh ahli-ahli akademik bidang psikologi dari Ohio University dan Xavier University menunjukkan bahawa mereka yang beragama hidup 5.6 tahun lebih lama berbanding mereka yang tidak beragama. Malah hasih kajian juga menunjukkan bahawa mereka yang tinggal di kawasan kelompok beragama menunjukkan peningkatan hidup 6.48 tahun.

Hal ini menunjukkan bahawa kehidupan beragama sebenarnya memberikan 1001 kelebihan kepada manusia, apatah lagi agama Islam. Agama memberikan manusia tuntutan, ajaran hidup dan memberi jawapan mengenai hal yang tidak dapat dijelaskan oleh manusia selain menjadi penyeimbang antara elemen luaran dan spiritual manusia.

Jika tidak percaya, lihat sahaja perkongsian pengalaman-pengalaman seperti Yusuf Estes, Yusuf Islam, Sonny Bill Williams, Sheikh Hamza Yusuf dan lain-lain. Pastinya ada perbezaan yang mereka alami dan rasai sebelum dan selepas memeluk Islam. Ambillah ia sebagai inspirasi dan pembakar semangat dalam menjadi seorang hamba Allah yang lebih dekat dan lebih baik denganNya dari hari ke hari. 

Sumber: Al-Afkar #17 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2018)


Comments