KUKUHKAN DAN JANGAN SESEKALI MEMUTUSKAN SILATURRAHIM KERANA IA MENJADI PENYEBAB AKAN DIJAUHKAN DARI RAHMAT ALLAH SWT
Menjaga silaturrahim dan ukhuwah adalah sesuatu yang sangat berharga bagi seseorang Muslim. Islam menuntut umatnya untuk saling mengukuhkan hubungan sesama saudara seagama kerana dengan pengukuhan itulah mampu melahirkan generasi yang cemerlang kerana saling membantu antara satu sama lain. Islam amat melarang keras umatnya yang memutuskan hubungan silaturrahim. Rasulullah SAW sendiri telah memberi amaran kepada manusia tentang sifat-sifat tercela yang menyebabkan terputusnya hubungan ukhwah dan silaturrahim sesama umat Islam. Rasulullah SAW bersabda:
"Jangan saling membenci, jangan berhasad dengki, jangan saling membelakangi kepentingan saudara-saudara kamu, dan jangan memutuskan silaturrahim, sebaliknya jadilah hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seseorang Muslim memulaukan saudaranya lebih daripada tiga hari." (HR Muttafaqun 'alaih).
Akan tetapi seiring dengan peredaran zaman, semakin hari pengukuhan ukhuwah sesama Muslim semakin berkurangan dek kerana timbulnya fitnah, buruk sangka dan lain-lain. Hal ini diingatkan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam satu hadis yang panjang. Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak halal bagi seorang muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudara Muslim lebih dari tiga malam, jika mereka berdua saling mendiamkan lebih dari tiga malam tersebut, keduanya jauh dari kebenaran selama mereka berdua masih memutuskan hubungan. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dari rasa marah (menyambung kembali hubungan ukhuwah), maka ia menjadi penebus dosanya. Jika (si ‘A’) memberi salam terhadap temannya (si ‘B’) namun tidak diterima, padahal (si ‘A’) masih mahu menjawab salamnya, maka (si ‘A’) akan dijawab oleh Malaikat, dan (si ‘B’) yang mendiamkan akan dijawab oleh syaitan. Jika mereka berdua meninggal dalam keadaan saling mendiamkan, maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya.” (HR Muslim).
Seharusnya umat Islam perlu diberi pendedahan kepada hadis di atas di mana Rasulullah SAW telah memberi amaran barangsiapa yang memutuskan ukhuwah sesama saudara seagama untuk selama-lamanya, maka Allah SWT akan memberi azab yang amat pedih. Memutuskan silaturrahim atau ukhuwah adalah termasuk antara–dosa dosa besar secara ijmak ulama. Memutus silaturrahim atau ukhuwah boleh berlaku dengan memencilkan hati kerabat terdekatnya dan meminggirkan mereka sama ada dengan cara tidak berbuat ehsan kepada mereka seperti tidak memberikan harta ketika mereka dalam keadaan yang sangat memerlukan sedangkan kita berkemampuan daripada sudut kewangan atau tidak menziarahi mereka tanpa ada sebarang keuzuran.
Tahukah kita sekiranya kita tidak menjaga ukhuwah ataupun silaturrahim, bukan sahaja kita tidak dapat masuk ke dalam syurga malah kita juga akan hilang keberkatan umur? Tidak hanya itu, kita juga bakal disempitkan rezeki, terhalang daripada mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT, doanya tidak dimakbulkan serta akan dibenci oleh manusia. Janganlah kita menjadikan diri kita ini sasaran kebencian para manusia lain. Kekalkanlah ukhuwah dan silaturrahim sesama saudara seagama supaya kita beroleh rahmat di dalam hidup kita di dunia dan akhirat.
Oleh itu, menjadi kewajipan kita mempereratkan hubungan silaturrahim dan menjauhi perkara yang boleh memutuskannya. Kita akan terasa keindahan dan kebahagiaan hidup jika hubungan silaturrahim ini dipelihara. Apa erti kekayaan, kedudukan dan pangkat jika hidup diisi permusuhan dengan orang di sekeliling kita. Ingatlah, silaturrahim membawa kebahagiaan dan memutuskannya akan membawa kepada kecelakaan dunia dan akhirat. Baginda SAW bersabda:
“Sesiapa ingin dilapangkan baginya rezekinya dan dipanjangkan untuknya umurnya, hendaknya dia menyambung silaturrahim.” (HR Bukhari).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment