SIFAT MARAH ITU DARI SYAITAN - BERSABAR, KAWAL PERASAAN DAN ISTIGHFARLAH KETIKA DALAM KEADAAN MARAH

 


Tidak dinafikan setiap daripada kita akan marah tatkala ada sesuatu kejadian atau perkara buruk menimpa ke atas diri kita. Amarah itu diibaratkan seperti api yang membara, jika dibiarkan maka hangus terbakar semua benda. 

Islam sebagai agama yang lengkap dan indah, amat menegah umatnya daripada melayani sifat marah, apa lagi berkelakuan baran keterlaluan. Malah, Rasulullah SAW sendiri telah memberi peringatan berulang kali kepada umat Baginda mengenai kejinya nafsu marah yang tidak terkawal kerana ia antara pintu digunakan syaitan dan iblis dalam menguasai manusia. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: 

"Sesungguhnya marah itu berasal dari syaitan, dan syaitan itu diciptakan dari api, dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air, maka apabila salah seorang di antara kamu marah, hendaklah dia berwudhu." (HR Ahmad).

Sedangkan syaitan itu boleh menyusup dalam diri seseorang melalui aliran darah mereka seperti sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah." (HR Bukhari). 

Ketika manusia marah, syaitan memasuki salur darah individu menyebabkan berlaku hilang pertimbangan akal fikiran, manakala wajah mulai merah dengan degupan jantung berlari kencang. Tindakan itu mendorong manusia bertindak di luar kotak fikiran yang waras hingga boleh mengancam nyawa orang sekelilingnya termasuk diri sendiri. 

Justeru, apa yang harus dilakukan oleh kita saat perasaan marah semakin meluap-luap di dalam hati? Rasulullah SAW telah mengajarkan kita berberapa cara dalam menangani perasaan amarah. Antaranya adalah: 

1. Membaca Ta’awwuz iaitu meminta perlindungan Allah SWT daripada godaan syaitan. Ini seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis. Sabda Rasulullah SAW: 

Sesungguhnya aku akan ajarkan satu kalimah yang jika diucapkan, akan hilang apa yang ada padanya, iaitu sekiranya dia mengucapkan: ‘Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.’ (HR Bukhari dan Muslim) 

2. Mendiamkan diri, bersabar dan beristighfar. Apabila perasaan marah dirasakan semakin tidak dapat dikawal, maka sebaik-baiknya kita bawa bertenang. Cuba lafazkan zikir dan istigfar berulang-ulang kali dibibir. Insya Allah dengan cara itu Allah memberikan petunjuk dan menyalurkan kekuatan agar kita mampu berfikir secara waras dan bertindak dengan betul. 

3. Duduk atau berbaring, namun sebahagian ulama pula menyatakan ambil wuduk. Ini kerana marah itu datangnya dari syaitan dan ia adalah api. Air ialah sesuatu yang menenangkan kerana ia menyucikan dan ia bersifat memadamkan. Maka dengan itu, Baginda Rasulullah SAW akan berwuduk setiap kali wujudnya perasaan tersebut. 

Tanamkan dalam diri nilai kasih sayang dan menghargai hak orang lain. Sedarlah kalau kita suka marah dan tidak hiraukan perasaan itu, bermakna kita suka berkawan dengan syaitan. Tanya diri kita sendiri, apakah kita suka bersahabat dengan syaitan? 

Oleh itu, umat Islam perlu ingat, ganjaran besar pahala menanti individu yang boleh dan berupaya mengawal perasaan marah kerana ia bukanlah usaha mudah. Tanpa kekuatan dalaman manusia akan tewas dengan ‘senjata’ syaitan. Mintalah perlindungan daripada Allah SWT supaya dijauhkan dari hasutan syaitan laknatullah. Kerana sesungguhnya Allah SWT sahaja yang Maha Berkuasa. Firman Allah SWT: 

"Dan jika engkau dihasut sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS Al-A’raf: 200). 

Sumber: Berita Harian (20 Ogos 2019).


Comments