AMALKANLAH SIKAP TAWADUK (MERENDAH DIRI) KERANA IA DICINTAI OLEH ALLAH SWT DAN AKAN DIANGKAT DARJAT KEIMANANNYA


Di dalam dunia ini, ada dua jenis sifat manusia. Pertama sifat merendah diri ataupun tawaduk dan kedua sifat takbur iaitu sombong. Akan tetapi bagi kita sebagai umat Islam, sudah tentu sifat tawaduk menjadi saranan dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT: 

"Dan rendahkanlah dirimu kepada orang Mukminin yang mengikutimu.” (QS al - Hijr: 88). 

Sebenarnya sikap tawaduk itu adalah sifat mulia warisan nabi, rasul, sahabat dan orang soleh terdahulu. Sikap itu hendaklah didasari dengan ketulusan dan keikhlasan hati. Ada manusia bersikap tawaduk tetapi ditipu syaitan kerana dalam hatinya tersembunyi keinginan untuk dipandang mulia oleh manusia. Orang yang bersifat tawaduk akan dihormati dan disukai orang lain kerana dia boleh menimbulkan simpati sehingga orang lain suka bergaul dengannya. 

Sikap tawaduk atau rendah hati hendaklah dimiliki oleh setiap  Muslim. Seseorang yang sentiasa mengamalkan sikap ini secara zahir dan batin, akan diangkat darjatnya oleh Allah SWT. Ini kerana, sikap tawaduk juga menjadi salah satu bukti keimanan seseorang kepadaNya. Allah SWT berfirman: 

Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Pemurah ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), maka menjawab dengan perkataan yang baik-baik (untuk menghindarkan dosa).'' (QS al - Furqan: 63). 

Ingatlah, tidak rugi untuk kita bersifat tawaduk kerana sifat ini sangat disukai oleh Allah SWT. Hakikatnya tawaduk adalah sifat yang sangat mulia. Orang ramai bersifat tawaduk akan merasakan dirinya mempunyai kelemahan dan kekurangan. Adapun kekuatan, kekayaan, kepandaian dan apa jua kelebihan yang dimilikinya, semuanya adalah pemberian dari Allah SWT. Ketahuilah bahawa Allah SWT mencintai orang-orang yang bersifat tawaduk. Bahkan sifat tawaduk juga dapat meninggikan darjatnya di sisi Allah SWT dan di sisi manusia. Rasulullah SAW bersabda: 

"Sedekah tidaklah mengurangi harta. Tidaklah Allah menambahkan kepada seorang hamba sifat pemaaf melainkan akan semakin memuliakan dirinya. Dan juga tidaklah seseorang memiliki sifat tawaduk (rendah diri) kerana Allah melainkan Allah akan meninggikan darjatnya.'' (HR Muslim) 

Sumber: Pelita Brunei, Jabatan Penerangan Negara Brunei Darussalam

Comments