BAHAYA PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL - MENAFSIRKAN AGAMA MENGIKUT LOGIK AKAL DAN MEMAHAMI KEBEBASAN BERDASARKAN PEMIKIRAN BARAT YANG MENYESATKAN

 


Liberalisme yang berlaku di dalam agama Kristian telah memberikan tempias kepada dunia Islam. Ia menular dalam agama Islam apabila lahirnya ramai ilmuan yang cenderung kepada orientalis pemikiran Barat. Lalu wujudlah pejuang kebebesan individu dalam segenap bidang bagi mempertahankan ideologi liberalisme dalam Islam.

Internet menjadi salah satu alat yang membolehkan ideologi gerakan pemikiran yang hanya berpaksikan nilai kemanusiaan tanpa elemen teras dalam Islam ini tersebar luas dan merata. Lalu ia merintis jalan ke arah pemikiran bebas Barat yang menyesatkan sehingga memahami agama mengikut pemikiran liberalisme Barat yang sama sekali bercanggah dengan akidah dan syariah Islam.

Faktor munculnya pemikiran Islam Liberal adalah disebabkan segelintir individu yang terpengaruh dengan pandangan dan cara hidup Barat serta peradabannya yang banyak menguasai dan mendominasi pelbagai bidang. Golongan ini turut beranggapan hukum-hukum Islam melanggar hak-hak asasi manusia, bahkan ia tidak sesuai dengan peredaran zaman serta mengongkong penganutnya.

Pemikiran modernisme dilihat cuba memberikan satu tafsiran Islam yang baru mengikut konsep humanisme, hak dan kebebasan individu berpandukan pemikiran sekular dan liberal Barat, dan dikatakan sangat sesuai dengan dunia moden masa kini. Lalu golongan Islam Liberal ini menanamkan nilai-nilai baru dalam masyarakat serta mengubah persepsi dan membentuk persepsi baru terhadap makna kemajuan serta hak dan kebebasan individu.

Hujah-hujah pemikir lslam Liberal yang bersandarkan kepada kajian-kajian Barat ternyata sekali amat bercanggah dengan Islam. Namun, biarpun bercangggah dengan Islam, golongan berfikiran liberal ini menggunakan sandaran kepada Islam agar mereka mendapat sokongan dan perhatian dari golongan awam yang beragama Islam. Lihat sahaja umat Islam di Malaysia, berapa ramai yang terpengaruh dengan fahaman liberal ini bertindak memudah-mudahkan ajaran Islam yang sudah sedia mudah dalam kehidupannya? Apakah sebenarnya yang cuba dibuktikan sekiranya mengamalkan kehidupan dan pemikiran Barat sedangkan Islam itu sudah lengkap ajarannya semenjak 1443H dahulu? Fikir-fikirkan.

Sumber: Seminar Antarabangsa Aqidah & Pemikiran Islam (International Seminar on Aqidah and Islamic Thought - IConAIT), 2016- KUIS.


Comments