MENGHAYATI PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ - PENGORBANAN RASULULLAH SAW TERHADAP UMATNYA PERLU DIJADIKAN IKTIBAR

 

Hari ini merupakan hari yang paling penting dalam sejarah kalendar umat Islam. Hari ini adalah hari di mana Baginda Rasulullah SAW diangkat oleh Allah SWT dari bumi menuju ke tujuh tingkat langit untuk ke Sidratul Muntaha. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah. Hari ini disambut oleh orang Islam di Malaysia bagi memperingati peristiwa yang sangat luar biasa yang telah dilalui Rasulullah SAW pada tahun ke-11 kerasulan Baginda. 

Firman Allah SWT:

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari, dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS Al – Israa’: 1).

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan antara mukjizat terbesar Rasulullah SAW selepas Al-Quran dan merupakan peristiwa agung dan mulia di mana Baginda telah diisrakkan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan dari sana Baginda dimikrajkan ke langit. Seterusnya Baginda telah menyaksikan tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Dalam peristiwa Israk tersebut, Baginda telah diperlihatkan dengan berbagai-bagai kejadian dan peristiwa aneh yang menunjukkan keadaan perbuatan manusia berserta balasan yang bakal mereka terima. Ini adalah sebagai satu ujian kepada manusia terhadap keimanan dan ketakwaan mereka. Dengan demikian mudah-mudahan akan menambah lagi keimanan dan rasa takut untuk membuat kemungkaran. Antara peristiwa tersebut adalah:

Baginda telah melihat segolongan manusia yang memukul-mukul kepalanya sendiri sehingga hancur luluh, akan tetapi sekejap kemudian kepala itu kembali seperti asalnya. Perbuatan itu dilakukan berulang-ulang kali, begitulah keadaannya berterusan. Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril A.S,'Siapakah mereka itu?' Lalu Jibril menjawab: 'Mereka adalah sebagai gambaran golongan umat tuan yang suka melalaikan waktu sembahyang sehingga habis waktunya'.

Lalu, apa pengajaran yang kita terima? Kita umat Islam wajib mengerjakan sembahyang fardu lima waktu sehari semalam serta menjaga waktunya. Tetapi apa yang berlaku, terdapat sebilangan orang yang masih lalai untuk melaksanakan ataupun melambatkan sembahyangnya sehingga luput waktunya dengan alasan sibuk dengan urusan kerja, keluarga dan sebagainya. Sesungguhnya jika ia seorang yang beriman, ia akan menjaga sembahyangnya dengan sempurna baik dari perlaksanaannya mahupun waktunya. Allah SWT berfirman:

"Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang iaitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya". (QS Al – Maun: 4 – 5).

Peristiwa kedua adalah di mana Baginda SAW telah melihat segolongan manusia yang masing-masing menghadapi dua bekas, bekas yang satu berisi daging yang sudah masak dan yang satu lagi berisi daging yang mentah. Tetapi yang anehnya, mereka memilih untuk makan daging yang mentah. Lalu Baginda pun bertanya kepada Jibril AS: 'Siapakah mereka itu?' Jibril menjawab: 'Mereka adalah gambaran di antara umat tuan yang suka berzina. Mereka sebenarnya masih suka melepaskan nafsu syahwatnya dengan perempuan lain walaupun mereka telah beristeri. Begitulah pula halnya dengan perempuan yang telah bersuami secara sah, akan tetapi mereka juga melakukan zina dengan lelaki lain yang bukan suaminya'. Sesungguhnya Allah SWT telah mengingatkan hamba-hamba-Nya untuk tidak mendekati perbuatan zina sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Israa' ayat 32:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan".

Zina adalah perbuatan keji dan hina yang merosakkan diri akhlak keturunan dan masyarakat. Di antara keburukan zina ialah keruntuhan moral dan akhlak, kelahiran luar nikah yang akibatnya seseorang itu boleh bertindak di luar batasan dan di luar naluri seorang manusia seperti berusaha untuk menggugurkan anak dalam kandungan dan lebih dahsyat lagi sanggup membuang anak yang baru dilahirkan itu hidup-hidup.

Di antara hikmah berlakunya Israk dan Mikraj itu, di mana Allah SWT telah memperlihatkan berbagai-bagai kejadian aneh, tidak lain melainkan untuk menjadi peringatan dan pengajaran kepada manusia supaya membuat perubahan positif dan membina terhadap diri mereka. Sebagai contoh, jika dahulunya mengabaikan dan malas untuk bersembahyang maka setelah menghayati peristiwa ini dan mengambil pelajaran dan iktibar daripadanya, ia akan berubah menjadi rajin menunaikannya. Jika dahulunya makan riba, maka sekarang telah berubah dan tidak akan melakukannya lagi, begitulah seterusnya akan mentaati perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya, bukan terus-menerus bergelumang dengan dosa dan maksiat dan langsung tidak mahu mendengar teguran dan nasihat, ibarat kata perumpamaan 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri'.

Ingatlah pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada kita dalam usaha menjadikan kita ini sebagai umat Islam yang sempurna. Hayatilah peristiwa Israk dan Mikraj ini dengan sepenuh hati dan belajarlah untuk menjadi Muslim yang terbaik. Sabda Rasulullah SAW bersabda:

"Sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya." (HR Bukhari).

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam (KHEUB)


Comments