MUKMIN YANG KUAT DIIBARATKAN SEPERTI POHON MUDA SENTIASA CEKAL, SABAR DAN REDHA DALAM MENGHADAPI SETIAP UJIAN YANG ALLAH SWT BERIKAN
Hidup kita sebagai hamba Allah SWT ini tidak lekang daripada menghadapi pelbagai ujian. Ujian yang datangnya daripada Allah SWT ini hadir dalam pelbagai bentuk dan tidak ada seorang pun yang bakal terlepas untuk menghadapinya. Baik orang kaya mahupun miskin, masing-masing mempunyai ujiannya tersendiri. Cuma yang membezakannya adalah cara kita menanganinya.
Seorang umat Islam yang teguh imannya dan cekal menerima ujian ini akan tetap teguh berdiri kuat walaupun sejuta halangan melanda. Ibarat seperti pohon muda, yang pohonnya melambai-lambai apabila ditiup angin. Tetapi saat angin berhenti meniup, ia berdiri tegak. Seperti yang digambarkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW:
"Perumpamaan orang mukmin adalah ibarat sebatang tanaman yang muda lembut yang melambai-lambai daunnya, bergoyang apabila ditiup angin. Apabila berhenti angin daripada bertiup maka dia berdiri tegak. Demikian keadaan seorang mukmin, kadang-kadang dicondongkan (sentiasa diuji) dengan bala atau ujian." (HR Bukhari).
Ujian musibah menyakitkan atau kurniaan nikmat yang membahagiakan, kedua-duanya adalah interaksi Allah SWT terhadap Mukmin untuk melihat sejauh mana keimanan mereka. Bagi sahabat, alim ulama atau salafusoleh, ujian musibah umpama berita gembira yang memberi kelapangan kepada hati. Mereka melihat ujian musibah daripada pandangan mati hati yang tajam sehingga musibah itu bukan garam yang memedihkan luka, tetapi madu memaniskan masakan. Begitulah tingginya iman alim ulama yang sepatutnya menjadi pedoman kepada seluruh Mukmin.
Janganlah kita menjadi hambaNya yang jahil dan mahu lari dari segala masalah dengan melakukan tindakan yang bodoh. Ini diibaratkan seperti kaum kafir yang tidak tahu menyelesaikan masalah atau ujian mereka sebaliknya memilih cara yang mudah untuk keluar dari masalah. Sebagai contoh, bunuh diri. Sabda Rasulullah SAW:
"Sebaliknya perumpamaan orang kafir bagaikan pohon kayu jati yang keras yang berdiri tegak (tidak bergerak-gerak) hingga Allah (dengan mudah) mematahkannya (membinasakannya) bila Allah menghendakinya." (HR Bukhari).
Oleh itu, jadilah seorang Muslim yang kuat dan sentiasa cekal dalam menghadapi ujian. Untuk menjadi mukmin sebenar, kita mesti melalui ujian dan cabaran dengan sabar dan redha di atas ketetapan qada dan qadar. Dalam masa melalui ujian dan bencana inilah dapat diketahui kekuatan, keyakinan dan kesabaran seseorang kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak ada satupun musibah (kesusahan) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya." (HR Muslim)
Jadilah seperti pohon muda yang tidak patah atau tumbang apabila ditiup angin, malah lebih kuat dan cekal. Jadilah mukmin yang tahan diuji dan sabar melalui dalam semua ujian dan musibah yang menimpa.
Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS)
Comments
Post a Comment