REBUTLAH PELUANG KEEMASAN YANG DIBERI OLEH ALLAH SWT UNTUK MERAIH KEREDHAAN DAN KEAMPUNANNYA SELAGI PINTU TAUBAT MASIH TERBUKA
Firman Allah SWT:
"Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya." (QS At – Toha: 82).
Bertaubat kepada Allah SWT menurut pandangan Islam adalah satu usaha wajib dilakukan setiap individu, tiada yang boleh mengambil alih tugas itu walau siapapun mereka. Kesalahan terhadap Allah SWT tidak dapat dirawat melainkan orang yang melakukan kesalahan memohon ampun kepadaNya. Jadi, di kesempatan yang masih ada ini, sepatutnya kita sebagai umat Islam mengambil peluang ini untuk melakukan lebih banyak ibadah dalam meraih keampunan dan keredhaan daripadaNya. Allah SWT berfirman:
"Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama-sama dengannya..” (QS At – Tahrim: 8).
Sekarang kita berada di bulan Sya’ban dan tidak lama lagi kita akan memasuki bulan Ramadan, bulan yang penuh keampunan. Adakah kita mahu menunggu ke saat itu baru kita mahu bertaubat? Bagaimana jika takdir Allah SWT berkata jika hayat kita tidak akan sampai ke tahap tersebut? Jadi, kita haruslah mula melakukan taubat mulai sekarang agar segala dosa dan kesilapan kita diampunkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya keperluan taubat ini bukan untuk orang atau golongan tertentu saja bahkan mereka yang taat kepada Allah SWT pun memerlukan taubat seperti orang melakukan maksiat. Mereka yang taat juga perlu bertaubat melihat dari pelbagai sudut.
Bertaubat atau kembali kepada Allah itu menuntut manusia memperbaiki dirinya, menyusun balik cara hidupnya dan menyambung kembali perhubungannya dengan Allah dalam bentuk yang lebih murni. Sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis qudsi: "Telah berfirman Allah SWT:
Wahai anak Adam! Setiap kali engkau memohon dan mengharap kepada-Ku, Aku tetap mengampunimu atas segala dosa yang engkau lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Andai kata dosa-dosamu sampai setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni. (HR Tirmizi).
Oleh itu, marilah kita mula melakukan taubat yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT. Gunakanlah peluang keemasan ini untuk meraih keampunan dan keredhaan Allah SWT. Pintu taubat Allah SWT terbentang luas. Namun, perlu diingat peluang terbentang luas ini juga ada pengakhirannya. Pintu taubat Allah SWT akan tertutup jika seseorang hamba itu hampir menemui ajalnya dan apabila telah sampai detik kehancuran dunia iaitu tibanya hari kiamat.
Sumber: Berita Harian (11 Disember 2015)
Comments
Post a Comment