Berbaki enam hari sahaja lagi sebelum umat Islam memasuki bulan yang mulia, bulan Ramadan. Adakah kita semua sudah bersedia? Bulan Ramadan adalah salah satu bulan yang mulia, bulan yang penuh berkah dan rahmah. Bulan di mana pintu syurga akan dibuka dengan seluas -luasnya dan pahala akan diberi berlipat - lipat ganda.
Antara doa yang tidak lekang di bibir Nabi SAW dan diajarkan kepada kita ialah:
"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah (berkatilah) kami pada bulan Ramadan." (HR Imam Ahmad).
Berdasarkan hadis di atas, dapat difahami bahawa 'persediaan' sebelum tibanya bulan Ramadan adalah lebih penting berbanding 'menyambut' kedatangan bulan itu sendiri, sehingga Baginda SAW menuntut kepada kita supaya mengamalkan doa terbabit bermula daripada bulan Rejab dan meneruskannya sehingga Ramadan tiba. Bahkan, di dalam kitab 'Lataif al-Maarif' karangan Ibnu Rajab al-Hanbali juga ada dinyatakan mengenai orang-orang soleh pada zaman dahulu melakukan persediaan awal sebelum Ramadan dengan berdoa. Mereka memohon kepada Allah SWT enam bulan lebih awal supaya Allah SWT sampaikan mereka ke dalam bulan Ramadan dalam keadaan yang paling terbaik dari segi rohani (iman) dan jasmani (kesihatan fizikal). Mereka turut meminta supaya Allah SWT memberi pertolongan kepada mereka untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Malah, mereka berdoa pula selama enam bulan selepas itu supaya Allah SWT menerima segala amalan yang sudah dilakukan.
Lalu, bagaimana pula dengan kita? Sudahkah kita mempersiapkan diri kita dengan ilmu dan iman di dalam diri? Syarat utama puasa diterima adalah seseorang itu mesti beriman kemudian diiringi dengan ihtisab (mengharap balasan baik daripada Allah SWT). Pengharapan terbina atas dasar iman dan ilmu. Iman manusia sudah tentu ada turun dan naiknya. Maka, persiapan iman sebelum masuk ke bulan Ramadan adalah amat penting dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Firman Allah SWT:
"Maka bertanyalah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui." (QS al - Anbiya': 7).
Oleh yang demikian, ini adalah waktu yang terbaik untuk kita mempelajari dan mengulangkaji semula hukum-hukum mengenai amalan ibadah di bulan Ramadan. Wajib bagi setiap mukmin itu melakukan ibadah dengan berlandaskan ilmu yang betul, bukan sekadar ikutan. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadan tiba supaya puasa kita benar-benar diterima dan mendapat ganjaran oleh Allah SWT. Seiring dengan persiapan fizikal dan tubuh badan, kita juga perlu mempersiapkan mental dan rohani kita bagi menghadapi Ramadan. Melakukan pembacaan mengenai teknik tazkiyatun al-nafs (penyucian jiwa) dan menghadiri majlis ilmu yang membincang perkara ini akan membantu kita bersiap siaga untuk melaksanakan ketaatan sepanjang bulan Ramadan. Sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari & Muslim).
Justeru, persiapkanlah diri kita dengan ilmu dan iman yang kukuh supaya amal ibadah kita di sepanjang bulan Ramadan ini diterima oleh Allah SWT. Rancanglah agenda persiapan dan aktiviti ibadah kita sebelum dan sepanjang Ramadan supaya kita dapat memanfaatkan sebanyak mungkin masa kita di bulan Ramadan.
Sumber: Harian Metro ( 8 Mac 2022).
Comments
Post a Comment