SIAPAKAH MUKMIN YANG HEBAT? MUKMIN YANG HEBAT DAN DICINTAI ALLAH SWT ADALAH ORANG YANG DAPAT MENGAWAL PERASAANNYA KETIKA MARAH
Marah merupakan satu perasaan yang wujud secara semulajadi dalam diri setiap manusia. Ia juga satu ekspresi yang muncul kadangkala secara spontan tatkala kita disakiti, dizalimi atau menghadapi sebarang masalah. Bahkan, Rasulullah SAW sendiri pernah berasa marah dalam beberapa keadaan, antaranya peristiwa Usamah bin Zaid yang pernah membunuh seorang musuh di medan perang, meskipun dia telah mengucapkan syahadah.
Namun, perasaan marah ini perlulah dikawal agar tidak terbawa-bawa dalam suasana yang tidak sihat hingga menimbulkan kesusahan di kemudian hari. “Jangan marah”. Larangan ini telah diulang oleh baginda nabi beberapa kali. Di dalam sebuah hadis: seorang laki-laki berkata kepada Nabi, "Berilah aku wasiat?" Baginda SAW bersabda,"Janganlah kamu marah." Laki-laki itu mengulangi kata-katanya, Baginda SAW tetap bersabda,"janganlah kamu marah." (HR Bukhari).
Menahan amarah dan mengawalnya merupakan satu sikap yang amat terpuji dan dituntut dalam Islam. Orang yang berjaya mengawal kemarahannya adalah seorang yang mempunyai ketahanan jiwa, mental dan mempunyai iman yang kuat. Malah, Allah SWT juga menyifatkan antara ciri orang yang beriman dan bertawakkal kepadaNya dalam surah al-Syu’ara’, ayat 37 yang bermaksud:
“...dan apabila mereka marah, mereka segera memaafkan.”
Justeru, latihlah diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, lemah lembut dan pemaaf. Kawal dan kuasai diri ketika didatangi perasaan marah, iaitu dengan mengingati akibat buruk yang akan menimpa dan kelebihan pahala orang yang menahan marah. Kekuatan atau kehebatan seseorang mukmin bukan terletak kepada kemenangan semasa berkelahi tetapi kemampuan menguasai emosi di saat ia sedang marah. Sabda Rasulullah SAW:
“Bukanlah orang yang kuat itu yang pandai bergusti, tapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya ketika ia marah.” (HR Bukhari).
Ingatlah, Mukmin yang kuat lebih disukai Allah daripada mukmin yang lemah. Apabila kita sedang diuji dengan sesuatu yang menjentik perasaan amarah kita, maka mintalah perlindungan kepada Allah SWT kerana semasa kita sedang marah, syaitan dengan mudah menghasut diri kita untuk bertindak di luar kawalan. Bersabarlah, ia merupakan satu sifat yang cukup hebat sehinggakan Allah menyebutnya dalam Al-Quran berulang kali kerana orang yang hebat itu adalah orang yang sentiasa sabar dalam apa jua keadaan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment