SIKAP MUSLIM MENGHADAPI MUSIBAH BERSABARLAH DAN SENTIASA BERFIKIRAN POSITIF NESCAYA ALLAH SWT AKAN TINGKATKAN DARJAT DAN MEMBERIKAN PAHALA YANG BESAR
Kehidupan setiap insan di dunia ini mempunyai warna warni tersendiri. Tidak ada insan yang hidupnya sentiasa dihiasi dengan kegembiraan kerana pastinya ada ketika dia perlu melalui detik kesedihan, kemurungan dan kegelisahan. Memang menjadi lumrah kehidupan insan diwarnai dengan suka dan duka. Namun, segalanya berbalik kepada pilihan diri untuk menangani apa sahaja suasana dengan penuh kesabaran. Allah SWT berfirman:
“iaitu orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakal.” (QS An – Nahl: 42).
Hampir tiga bulan berlalu semenjak peristiwa hujan lebat dan banjir besar melanda di beberapa buah negeri di tanah air, kali ini kita dikejutkan lagi dengan peristiwa hujan lebat, ribut petir dan banjir di negeri-negeri Pantai Timur dan juga banjir kilat di sekitar kawasan Ibu Negara semalam. Sememangnya ini suatu dugaan dan ujian yang sangat berat daripada Allah SWT untuk para hambaNya. Namun, sebagai umat Islam yang taat akan perintah agama, kita hendaklah sentiasa bersabar, berfikiran positif dan bersangka baik dengan Allah SWT terhadap ujian ini. seperti Firman Allah SWT:
“Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan kerana kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (QS Al – Baqarah: 155).
Sebenarnya kepelbagaian dugaan yang dihadapi oleh manusia berdasarkan kemampuan dirinya sendiri. Allah SWT tidak sekali-kali membebani hambaNya dengan ujian yang tidak mampu ditanggung oleh kemampuan diri. Penyelesaian kepada masalah yang timbul pula boleh ditemui dalam pelbagai bentuk dan cara. Cumanya individu yang ditimpa ujian tersebut perlu mengambil sikap positif. Sebagai contoh dugaan menghadapi banjir dalam keadaan kes Covid-19 yang semakin meninggi. Pada kita memang terlalu berat. Akan tetapi, di mata Allah SWT kita mampu menanganinya.
Tidak mudah untuk bersikap positif tatkala fikiran runsing dengan pelbagai perkara bagi menyelesaikan masalah. Tetapi yakinlah, dengan fikiran yang positif, banyak jalan keluar yang boleh diusahakan dan pasti tidak menemui kebuntuan. Biasanya manusia gagal untuk bersikap positif kerana dirinya dihantui oleh banyak prasangka buruk. Dengan prasangka buruk yang belum pasti itulah, mungkin timbul pelbagai masalah lain dalam kehidupan.
Pilihan untuk bersikap positif berada dalam tangan sendiri. Sekiranya kita membuat pilihan yang positif maka semuanya akan membawa kebaikan kepada diri sendiri. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
"Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin (orang yang beriman). Sesungguhnya semua perkaranya adalah baik baginya dan hal itu tidak dimiliki oleh siapa pun kecuali oleh orang Mukmin. Jika diberi sesuatu yang menggembirakan, dia bersyukur, maka hal itu merupakan kebaikan baginya dan apabila dia ditimpa suatu keburukan (musibah), dia bersabar, maka hal itu juga baik baginya." (HR Muslim).
Ketahuilah, sifat sabar dan sentiasa berfikiran positif itu adalah anugerah terindah yang menjanjikan pelbagai kurniaan dan ganjaran. Orang yang sabar dan positif mempunyai kedudukan tertinggi di sisi Allah SWT. mendapat keampunan, rahmat dan pentunjuk daripadaNya. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.” (HR al-Hakim).
Sebagai hamba Allah SWT, kita hendaklah sentiasa bersabar dalam menghadapi segala ujian dan dugaan kerana semua itu adalah ketentuan dan ketetapan Allah SWT. Ingatlah, Allah SWT akan sentiasa bersama kita sebagaimana yang dijanjikan di dalam Al-Quran bahawa Allah SWT sentiasa mengasihi dan bersama-sama yang sabar.
Kita tidak akan rugi sekiranya mengambil pendirian positif dalam perkara yang melibatkan diri sendir ataupun orang lain, malah pastinya kita akan lebih disayangi dan dihormati atas pendirian tersebut. Jauhkanlah diri daripada bersangka buruk kerana ia merupakan antara masalah hati sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: "Jauhilah kamu daripada prasangka kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sebohong-bohong rekaan rasa hati (berita hati)." (Muttafaq 'alaih).
Sumber: Harian Metro (7 Mac 2022)
Comments
Post a Comment