BERSANGKA BAIKLAH KEPADA ALLAH SWT DALAM APA JUA KEADAAN DAN JANGAN SESEKALI MERUNGUT DENGAN TAKDIR YANG DITETAPKAN

 

Walaupun fasa pandemik Covid-19 sudah bertukar ke status endemik, namun masih ramai di antara kita yang kerap kali mengeluh akan kesusahan yang dihadapi yang tidak jua berakhir. Ada di kalangan kita yang sudah berani menyalahkan takdir Allah SWT dan tidak langsung menerima ketentuan qada’ dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada kita. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

"Sesungguhnya Allah SWT berfirman: Aku berada di sisi sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Jika dia bersangka baik, maka baginya (kebaikan menurut sangkaan baiknya). Jika dia bersangka buruk, maka baginya (keburukan menurut sangkaan buruknya)." (HR Ibnu Hibban).

Allah SWT menjelaskan kepada hambaNya bahawa mereka akan memperoleh sesuatu berdasarkan keyakinan mereka kepadaNya. Keyakinan yang baik akan mengundang kebaikan, begitu juga sebaliknya. Sikap berbaik sangka kepada Allah SWT atau 'husnudzon' perlulah diaplikasikan ke atas semua peristiwa yang dialami dan dihadapi dalam kehidupan kita. Peristiwa tersebut boleh jadi suatu musibah, mahupun nikmat. Di saat ditimpa musibah, kita perlulah bersabar dan bersyukur di kala diberikan nikmat. Normalnya, manusia akan mengalami kesukaran untuk bersangka baik di kala diuji dengan sesuatu yang tidak seperti yang dikehendaki dan tidak disukai. 

Sikap berbaik sangka kepada ujian Allah SWT akan membawa kita kepada hikmah setiap kejadian yang berlaku. Allah SWT sayang kita lebih daripada seorang ibu menyayangi anaknya. Sangka baik adalah sikap dan cara pandang seseorang melihat sesuatu secara positif. Setiap Muslim dianjurkan untuk sentiasa bersangka baik dalam menghadapi sesuatu yang datang kepadanya. Rasulullah SAW bersabda:

"Setiap hamba yang tertimpa musibah, lalu dia mengucapkan doa ini, pasti Allah akan memberikan pahala dalam musibah yang menimpanya dan menggantikan dengan yang lebih baik." Sekiranya seseorang itu reda dan bersabar atas musibah yang menimpanya, maka Allah SWT akan mengurniakan kepadanya ganjaran pahala yang besar dan tidak ternilai.” (HR Muslim). 

Ingatlah, di saat ujian datang menimpa kita perlulebih kerap berdoa, bertaubat dan bangun malam meminta pertolongan, lebih kerap beristighfar dan bersedekah. Bukankah ini cara Allah untuk menjadikan kita orang yang lebih baik? Bersangka baiklah dengan ketentuan yang diturunkan oleh Allah SWT dan jangan sesekali merungut dengan takdir kehidupan.

Sumber: Berita Harian (7 Januari 2015)


Comments