JAGALAH AURAT DAN MARUAH DIRI SEBAGAI WANITA SOLEHAH BUKANNYA MENGIKUT “TREND” MELAMPAU DI MEDIA SOSIAL YANG MELANGGAR SYARIAT ISLAM

 

Tidak dinafikan, kewujudan pelbagai platform media sosial menimbulkan pelbagai “trend” atau lebih tepat di sebut sebagai gaya terkini yang menjadi ikutan para manusia pada zaman ini. Namun sayangnya, ramai di kalangan umat Islam mengikutinya dan rata-ratanya adalah kaum wanita. Apa yang lebih menyedihkan, ianya semua adalah “trend” yang haram diikuti. Apabila ditegur jawapannya cukup mudah, “Alah, content saja je pun!”. Tidak sekadar gadis perawan, malah ibu mengandung juga ada yang mengikutinya hingga menampakkan aurat yang tidak sepatutnya ditunjukkan oleh setiap Muslimah. Masha Allah! Firman Allah SWT:

“Hai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikatmalaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (QS At – Tahrim: 6).

Wahai wanita solehah! Jagalah maruah dan aurat anda semua dari pandangan lelaki ajnabi, baik yang perawan ataupun isteri orang. Tahukah kita bahawa Rasulullah telah memperingati kita semua bahawa sebahagian besar penghuni neraka itu adalah golongan wanita? Hal ini ketika terjadinya peristiwa gerhana matahari ketika mana Baginda sedang melakukan solat gerhana, Rasulullah SAW melihat syurga dan neraka. Ketika Baginda melihat neraka Baginda bersabda kepada para sahabatnya:

“ … dan aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya: “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab: “Kerana kekufuran mereka.” (HR Bukhari). 

Berdasarkan hadis di atas, apakah kita tidak takut dengan keadaan sedemikian? Cuba kita bertanya kepada diri kita wahai kaum wanita, adakah kita ini tergolong dalam golongan sedemikian? Perintah menutup aurat dengan memakai tudung yang menutupi dada, baju yang longgar, menjaga adab dan akhlak serta tidak menarik perhatian merupakan landasan yang kuat bagi seorang wanita untuk menjaga kehormatan dirinya. 

Ingatlah, seorang Muslimah yang kukuh dan kuat imannya tidak akan sesekali “menelanjangkan” dirinya di media sosial dengan “trend” yang haram dan mengundang kemurkaan Allah SWT. Peliharalah harga diri kita sebagaimana seorang wanita muslimah memelihara dan menjaga kesucian dirinya dengan menjadikan malu sebagai pakaian mereka. Malu itu adalah satu sifat yang di dalam diri manusia dan sifat tersebut akan mendorong manusia untuk melakukan perkara-perkara terpuji serta meninggalkan apa yang dicela dan mengaibkan. Wanita solehah adalah perhiasan yang indah, sebagaimana Sabda Rasulullah SAW:

“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah”. (HR Muslim).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments