JANGAN SOMBONG DENGAN KELEBIHAN DIRI SEBALIKNYA GUNAKANLAH UNTUK MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN

 

Sombong merupakan suatu penyakit hati. Seseorang yang bersifat sombong akan merasa bangga dengan kelebihan diri sendiri dan merendahkan orang lain. Tentang sifat sombong ini, Rasululullah SAW bersabda:

 “Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” (HR Muslim).

Sememangnya sudah menjadi lumrah manusia, ada yang berjaya dalam hidup, berilmu dan menjadi seseorang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain dengan segala kelebihan yang dimilikinya.  Mereka tidak sombong malah sentiasa merendah diri seperti kata pepatah "mengikut resmi padi, makin berisi makin tunduk". Namun, tidak kurang juga yang bersikap sombong dengan kelebihan yang dimilikinya. Persoalannya, apa yang kita dapat sekiranya kita bersikap sombong? Sedangkan sifat sombong adalah sifat yang dibenci oleh Allah SWT seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri." (QS Luqman: 18).

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT sendiri tidak menyukai para hambaNya yang bersikap sombong di atas muka bumi ini. Lantas, mengapa perlu bersikap sedemikian? Menurut Rasulullah SAW, ada tiga penyakit yang akan menghancurkan amalan seseorang, salah satunya ialah sifat sombong. Bukankah kita semua tahu Iblis dikeluarkan dari syurga kerana sifat angkuh dan sombongnya yang enggan bersujud terhadap Nabi Adam A.S? Ini kerana Iblis merasakan dirinya lebih utama dan lebih mulia daripada Nabi Adam AS kerana kejadiannya daripada api sedangkan Nabi Adam AS daripada tanah. Jika kita ini mengaku sebagai seorang umat Islam, kenapa pula bersikap sombong sedangkan ia adalah amalan syaitan yang dimurkai Allah SWT? Kisah kesombongan Iblis ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran iaitu Allah SWT berfirman:

“Dan (ingatlah) ketika Kami memerintahkan kepada malaikat: ‘Sujudlah kepada Ada.’ Dia (Iblis) enggan dan membesarkan dirinya. Maka sesungguhnya dia adalah dari golongan musyrik.” (QS Al – Baqarah: 34).

Seharusnya sebagai umat Islam yang patut mengamalkan hidup yang sederhana, dengan kelebihan yang kita ada kita digalakkan untuk membantu di antara satu sama lain demi mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama Islam. 


Mari kita bermuhasabah dan memperbaiki diri. Kita perlu insaf dan akui bahawa kita manusia yang amat daif dan lemah. Segala kehebatan dan kelebihan yang ada pada diri kita adalah anugerah daripadaNya dan bisa ditarik balik bila-bila masa sahaja.

Sumber: Sinar Harian (2 April 2019)


Comments