KEKALKANLAH SIKAP TOLONG – MENOLONG KERANA IA AKAN MENGUKUHKAN IKATAN PERSAUDARAAN DAN MENINGKATKAN KEIMANAN KEPADA ALLAH SWT

 


Walaupun Ramadan sudah pun melabuhkan tirainya, namun ia tidak bermakna kita sebagai umat Islam harus berhenti melakukan kebaikan. Jika di sepanjang bulan Ramadan kita terlalu sibuk dalam melakukan amal jariah seperti memberi bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan, janganlah pula kita berhenti di bulan-bulan lainnya. Islam amat menggalakkan umatnya bersikap suka tolong menolong sesama insan atas landasan kebajikan dan ketakwaan. Firman Allah SWT:


“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa....” (QS Al – Maidah: 2).


Seharusnya dalam keadaan pemulihan dan fasa endemik pasca Covid-19 ini, kita perlu meneruskan usaha murni ini agar ia tidak terhenti sekadar sekerat jalan. Masih terdapat ramai di kalangan umat Islam dan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan kita kerana tidak semua bernasib baik selepas peralihan endemik diumumkan. Masih terdapat sebilangan daripada kita yang tidak mempunyai kerja, masih bergantung harap dengan bantuan-bantuan yang disediakan untuk meneruskan hidup masing- masing. Jadi, tidak salah rasanya untuk kita meneruskan sikap tolong-menolong ini agar setiap di antara mereka masih boleh meneruskan kelangsungan hidup untuk diri sendiri dan keluarga.


Bahkan, Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan menolong orang lain yang dalam kesusahan, maksudnya: 


“Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim).


Jadi, kekalkanlah sikap tolong-menolong sesama Muslim ini pada setiap masa dan bukannya bermusim. Kadangkala kita  bertemu keadaan orang lain yang memerlukan bantuan. Maka, sangat elok sekiranya kita dapat cuba membantu. Mungkin ada orang datang menemui kita dan menceritakan masalah yang dilaluinya, maka kita bantu dengan memberi nasihat yang berguna kepadanya. Mungkin juga kita didatangi orang yang memerlukan sedikit wang untuk menguruskan kehidupannya, maka ambillah kesempatan itu untuk menghulurkan bantuan seadanya.


Kita sebagai umat Muslim hendaklah senantiasa bermanfaat untuk orang lain dengan cara menolong orang yang sedang mengalami kesusahan. Allah SWT berfirman:


“Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebagian mereka menjadi penolong bagi sebagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan shalat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha perkasa, Maha bijaksana”.(QS at-Taubah: 71).


Sedangkan orang yang sentiasa  memberi manfaat kepada orang lain dengan membantu mereka yang dalam kesusahan adalah orang yang paling dicintai oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:


“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.” (HR At-Thabrani).


Oleh itu, teruslah membantu insan lain yang memerlukan secara berterusan. Ini kerana ia bukan sahaja akan mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam malah akan mengukuhkan lagi keimanan kepada Allah SWT.


Sumber: Harian Metro (2 Disember 2019).

Comments