JANGAN BERBANTAH-BANTAH (BERSELISIH) DALAM SOAL HALAL DAN HARAM KECUALI UNTUK MELAWAN KEBATILAN KERANA IA SANGAT DIMURKAI OLEH ALLAH SWT

 


Akhir-akhir ini, terlalu banyak perdebatan yang terjadi di kalangan umat Islam di negara ini, terutamanya berkaitan soal hukum hakam agama dan pelaksanaannya. Hal ini termasuklah kaitannya dengan pesta perayaan Bon Odori yang bakal diadakan di negara ini. Mengapa terlalu banyak bantahan mengenai perkara ini sedangkan ia sudah terang dan salah di sisi agama Islam? Apakah ada pihak cuba menegakkan benang yang basah dengan memulakan perdebatan akan hal ini bagi tujuan meliberalkan pemikiran umat Islam dalam diam? Sabda Rasulullah SAW:


"Sesungguhnya orang yang paling dimurkai Allah adalah orang paling keras (gemar) dalam berbantah-bantahan" (HR Bukhari).


Allah SWT sangat murka terhadap orang yang berbantah-bantah apa lagi jika ia melibatkan hukum syariat yang sudah diitetapkan di dalam al – Quran. Kononnya meraikan kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia. Apakah meraikan budaya itu lebih penting dari urusan agama dan akidah umat Islam? Ini bukanlah ayat yang berbentuk ekstremis, ianya hanyalah sekadar peringatan kepada umat Islam agar sentiasa menjaga batas syariat sebagai Muslim dalam merayakan sesuatu kebudayaan tanpa perlu berbantah-bantah. Sekiranya perayaan itu dikhuatiri akan menjejaskan keimanan seseorang, maka sudah menjadi tanggungjawab para pemimpin negara tersebut untuk mencegahnya. Jadi, sebagai rakyat lebih-lebih lagi sebagai umat Islam kita wajib mentaati pemimpin atau ulama yang mewakili pemimpin negara ini. Bukankah Rasulullah SAW telah memerintahkan kita untuk mentaati pemimpin selama ia tidak bercanggah dengan hukum syariat Islam?  Dalam sebuah hadis, sabda Baginda:


“Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu merupakan suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat. Apabila mereka (pemerintah) mengarahkan kepada maksiat maka tidak wajib dengar dan taat (pada arahan tersebut).” (HR Bukhari).


Oleh itu, janganlah kita sebagai umat Islam sesekali berbantah-bantah akan hal yang telah jelas ditetapkan dalam agama kecuali kepada hal untuk mencegah atau melawan kebatilan tersebut. Ingatlah, keputusan para pemimpin dalam sesuatu hal itu telahpun disepakati dan diambil kira kesan dari pelaksanaannya. Maka sebagai rakyat, kita wajib mentaatinya. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah An – Nisa’, ayat 59 yang bermaksud: 


“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”


Sumber: Portal The Inspirasi (theinspirasi.my), 24 Disember 2020.

Comments