Setiap daripada kita sudah pasti mempunyai masa silam, tidak kiralah sama ada ianya pahit atau manis. Jika masa silam itu sesuatu yang manis ia disebut sebagai kenangan ataupun memori. Akan tetapi sekiranya masa silam itu sesuatu yang buruk, kita sebutkan sebagai aib. Aib bermaksud perbuatan keji atau kekurangan, kelemahan, ataupun kecelaan yang boleh menjatuhkan maruah seseorang. Seseorang itu akan berasa malu dan terhina akibat perkara tersebut. Maka dari itu, Islam sangat melarang umatnya untuk membuka sesuatu aib tidak kiralah sama ada aib sendiri mahupun orang lain.
Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap umatku akan diampunkan kecuali orang yang terang-terang mendedahkan kesalahan mereka..." (HR Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis di atas yang panjang, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa orang yang terang-terang mendedahkan kesalahan mereka adalah seseorang yang melakukan perbuatan maksiat di malam hari, kemudian di paginya ia berkata: "wahai fulan, kemarin aku telah melakukan ini dan itu" dengan bangganya. Walaupun Allah SWT telah menutup kemaksiatan dan aib yang dilakukan olehnya, namun, ia sendiri bertindak membuka aib dirinya sehingga diketahui oleh orang ramai. Perbuatan mendedahkan aib sendiri ini sangat dimurkai oleh Allah SWT. Allah SWT sudah terang dan jelas menutupi aib kita mengapa kita perlu membuka aib sendiri? Bagaimana jika aib itu disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab hanya kerana ingin mengaut keuntungan untuk diri mereka sendiri? Bukankah itu akan mendatangkan kesan buruk kepada diri kita sendiri dan juga keluarga?
Sesungguhnya dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Muslim merupakan punca datangnya kemurkaan Allah SWT terhadap dirinya. Neraka adalah tempat yang disediakan oleh Allah SWT untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh hamba yang tidak kembali bertaubat kepadaNya. Perbuatan mendedahkan dosa kesalahan sendiri kepada khalayak ramai dilarang kerana ia menutup pintu rahmat Allah SWT yang sangat luas kepada para hamba-Nya. Allah SWT akan mengampunkan semua kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam selagimana tidak terjebak dalam dosa syirik atau menyekutukan Allah SWT. Sesiapa sahaja boleh kembali kepada Allah SWT sekiranya benar-benar ingin membersihkan diri daripada dosa dan kesalahan.
Justeru, orang yang membuka keaiban diri sendiri hanya akan membuka pintu kemudaratan terhadap dirinya sendiri. Manusia akan terus memandang serong terhadap diri orang yang mendedahkan kesalahan sendiri. Inilah satu perbuatan yang dilihat menjatuhkan 'air muka' sendiri tanpa orang lain berbuat demikian terhadapnya.
Ingatlah, jangan sesekali mendedahkan aib sendiri kerana Allah SWT sangat murka kepada Muslim yang menyebarkan aib mereka sendiri. Ini sebagaimana firmanNya:
“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (QS An – Nur: 19).
Sumber: Berita Harian (26 Jun 2019)
Comments
Post a Comment