WAHAI UMAT ISLAMBANGKIT BERSOLIDARITILAH UNTUK MENUNJUKKAN KEKUATAN DAN KEBERSAMAAN DALAM MENENTANG PENGHINAAN TERHADAP RASULULLAH SAW
Bahang kemarahan umat Islam terhadap perbuatan seorang jurucakap pemimpin sebuah parti politik di India yang menghina Nabi SAW masih belum reda. Kemarahan ini tentu sahaja wajar kerana perbuatannya itu mencalar peribadi agung Nabi SAW yang cukup besar kedudukannya dalam jiwa umat Islam. Maka, sebarang perbuatan biadab terhadap baginda pasti tidak dapat diterima.
Penghinaan terhadap Nabi SAW sebenarnya bererti penghinaan terhadap syariat Allah SWT kerana Dia-lah yang memilih baginda untuk umat manusia.
Bagi mereka yang menghina Rasulullah SAW, Allah SWT akan menjauhkan mereka daripada rahmat dan nikmat-Nya ketika di dunia lagi. Maksudnya, Allah SWT menjadikan mereka terus berada dalam kesesatan dan menjadikan mereka gembira melakukan kesesatannya itu. Kesesatan ini bakal menyeret mereka ke dalam neraka, sebagai tempat yang amat buruk; kemudian mereka akan dilaknat ketika di akhirat nanti dengan memasukkan mereka ke dalam neraka yang membakar tubuhnya. Allah SWT berfirman:
"...Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya". (QS al-Taubah: 61).
Sebagai umat Islam yang menjunjung tinggi nilai keperibadian Rasulullah SAW dan menjadikan Baginda ikutan sepanjang zaman, kita wajib mempertahankan kemuliaan Baginda dari terus dihina dan diperlekehkan oleh golongan pelampau atau ekstrimis ini. Orang yang tidak mempunyai rasa marah di dalam hati apabila syariat Allah dan Nabi-Nya dihina, tentu ada masalah besar dengan dirinya, sama ada dia benar-benar sangat jahil atau memang tiada langsung rasa iman di dalam hati. Walhal, rasa marah itu adalah wajar.
Namun begitu, kita perlu mengawal kemarahan itu dengan bijak agar kita tidak terlanjur melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dan dilarang oleh syarak. Sebagai contoh, apabila Nabi SAW kita dihina, lalu sebagai balasannya kita menghina pula tokoh ikutan atau entiti sembahan pihak yang menghina. Perkara seumpama ini adalah ditegah sepertimana firman Allah SWT:
"Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka lakukan." (QS Al – An’am: 108).
Ketahuilah bahawa perbuatan menghina ini hanya dilakukan oleh golongan pelampau dan orang-orang yang sudah tiada modal dan muflis hujah. Lalu, hanya untuk memuaskan hawa nafsunya dia memaksa diri melakukan tindakan yang melampui batas tanpa memikirkan akibatnya. Kita semua percaya setiap agama tidak mengajar penganutnya bertindak melampaui batas dan biadab terhadap penganut agama lain. Sebaliknya, diri penganut agama itu sendiri yang bersikap ekstrem dan melampaui batas. Kita tidak nafikan golongan seperti ini ada dalam setiap agama, bahkan agama Islam pun. Malah, Nabi SAW melarang sebagaimana sabda Baginda:
'Binasalah orang yang suka melampaui batas.' Baginda mengucapkan perkataan ini sebanyak tiga kali." (HR Muslim).
Oleh itu, seluruh umat Islam perlu bangkit bersolidariti menunjukkan kekuatan dan kebersamaan dalam menjaga nama baik agama dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW bagi menentang penghinaan dikeluarkan dua ahli politik India baru-baru ini.
Kerbersamaan yang dapat dibentuk dan ditunjukkan, boleh menggerunkan pihak musuh untuk menghina agama Islam pada masa depan.
Teruskan usaha mempertahankan Rasulullah SAW dari terus dihina dan diperlekehkan oleh sesetengah golongan dengan tegas tetapi berhemah agar Islam tidak ditindas dengan sewenang-wenangnya!
Sumber: Harian Metro (19 Jun 2022)
Comments
Post a Comment