Jika dilihat pada keadaan negara dan rakyat Malaysia pada hari ini, ramai di antara kita yang masih berjuang untuk mencari rezeki, bangkit daripada kejatuhan selepas bergelut dengan wabak pandemik Covid-19 selama dua tahun. Dapat dilihat dalam tempoh ini, bagaimana mereka bangkit untuk memperjuangkan nasib untuk kelangsungan hidup mereka. Ada yang bernasib baik dapat bangkit dengan cepat dan ada yang masih bertatih. Buat yang bernasib baik, sudahkah kita mengucapkan syukur kepada Allah SWT? Firman Allah SWT:
“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (QS Ibrahim: 7).
Mereka yang bersyukur sentiasa memuji Allah SWT, menunaikan setiap suruhan dan meninggalkan segala laranganNya. Golongan yang bersyukur juga mengakui kebesaran Allah SWT. Manakala bagi yang tidak bersyukur, bermakna mereka kufur kepada nikmat Allah SWT, merasa tidak cukup dengan apa yang dimiliki dan mudah dihasut oleh syaitan. Nikmat yang Allah berikan kepada kita sangatlah banyak. Tidak ada seorang pun di antara kita yang mampu menghitungnya. Baik berupa harta, keluarga, kesihatan dan yang paling besar adalah nikmat iman dan Islam.
Namun, masih terdapat lagi di kalangan kita yang sudah pun mendapat nikmat daripada Allah SWT tetapi ia masih lagi berat mulut untuk menyatakan rasa syukur dan inginkan yang lebih lagi. Inilah salah satu sifat mazmumah dan ‘penyakit’ yang melanda kebanyakan umat Islam pada hari ini, iaitu kufur nikmat. Tahukah kita apabila seseorang itu kufur nikmat maka Allah SWT akan menarik segala nikmat yang dikurniakan sekelip mata? Allah SWT berfirman:
“Kalaulah kamu kufur ingkar (tidak bersyukur) akan nikmat-nikmatNya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak berhajatkan (iman dan kesyukuran) kamu (untuk kesempurnaanNya) dan Dia tidak redhakan hamba-hambaNya berkeadaan kufur..” (QS Az – Zumar: 7).
Bahkan, Rasulullah SAW pernah menangis ketika melakukan solat tahajud kerana khuatir Baginda tergolong dalam golongan yang kufur nikmat. Maka Aisyah RA bertanya:
“Mengapakah engkau menangis? Sebenarnya Allah SWT sudah mengampunkan dosa engkau yang terdahulu mahupun yang terkemudian.” Maka Nabi Muhammad SAW bersabda: Adakah tidak patut aku dalam kalangan hamba yang banyak bersyukur?” (HR Ibnu Hibban).
Ingatlah, jangan kita sesekali kufur akan nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita. Jika kita masih mengeluh dengan nikmat yang kita perolehi, ketahuilah bahawa di luar sana masih terdapat ramai lagi umat manusia yang bersusah payah untuk bangkit balik demi sesuap rezeki dan mengharapkan turunnya nikmat Allah SWT kepada mereka walaupun sedikit. Sifat syukur berada pada tahap tertinggi kerana tidak ramai yang mampu mencapai tahap syukur di atas semua anugerah diterima di dunia ini. Rasa bersyukur itu tidak terhenti hanya di dunia sebaliknya haruslah berkekalan hingga ke akhir hayat supaya terhindar daripada sifat kufur terhadap nikmat diberi.
Sumber: Berita Harian (5 Disember 2019).
Comments
Post a Comment