HADAPILAH UJIAN YANG ALLAH BERIKAN DENGAN TENANG DAN SABAR SERTA YAKINILAH BAHAWA ALLAH SWT SENTIASA BERSAMA ORANG YANG SABAR


Pelbagai ujian yang kita tempuh sepanjang dua tahun kebelakangan ini, bergelut dengan pandemik Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kejatuhan ekonomi dunia yang melibatkan periuk nasi kita dan bermacam-macam lagi. Namun, itu bukan penghalang bagi kita terutamanya umat Islam untuk terus putus asa dengan hidup. Setelah dua tahun menempuhi ujian, akhirnya kita bebas apabila memasuki fasa Endemik. Namun siapa sangka, kini Covid-19 mula mengganas kembali. Ada di antara kita mula risau, apakah mimpi buruk bakal berulang kembali?

Dalam hal ini, apa yang kita perlu lakukan adalah bersabar dan tenang. Bersangka baik, mungkin ini ujian daripada Allah SWT kerana Dia mahu kita sentiasa ingat kepadaNya. Keutamaan sikap sabar ini telah dijelaskan dalam sebuah hadis yang berbunyi:

“Jika Allah swt mencintai seseorang maka Ia akan mengujinya. kalau orang itu sabar, maka Allah swt akan menjadikannya orang mulia (mujtaba). Dan jika ia ridha (rela) maka Allah swt akan menjadikannya sebagai orang pilihan yang istimewa (musthafa).” (HR Bukhari).

Ganjaran kepada orang beriman yang memiliki sifat mahmudah tersebut cukup menakjubkan. Beruntunglah golongan itu apabila dijanjikan kejayaan, kebahagiaan, syurga nan indah dan terhindar daripada seksa api neraka. Allah SWT berfirman:

Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar." (QS Al – Baqarah: 153).

Orang yang bersifat sabar merupakan orang yang sangat tenang di dunia. Apa pun ujian yang diberikan oleh Allah SWT, dia tetap dalam keadaan tenang kerana tahu bahawa apa yang akan berlaku akan tetap terjadi. Cuma, bagaimana cara dia hendak berhadapan dengan ujian yang dihadapi itu, bergantung kepada kebijaksanaannya untuk menyelesaikan. Ketahuilah, bahawa sabar menjadi benteng supaya kita tidak membinasakan diri dengan dosa dan maksiat serta tidak bergaduh sesama manusia dengan penuh amarah dan dikuasai oleh baran.

Percayalah kita akan disayangi ALLAH dan disenangi oleh manusia kerana hidup sentiasa dalam keadaan tenang. Apabila diuji, sabar itu menjadi pertahanan untuk diri kita. Pada masa sama, berdoalah kepada Allah SWT, istighfar dan berkumpul dengan orang soleh agar diri kita terus istiqamah dengan sifat sabar yang mulia ini.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments