ISLAM LIBERAL SEMAKIN TERSEBAR? JANGAN BIARKAN 'FENOMENA ISLAM LIBERAL AMINA WADUD' (WANITA JADI IMAM SOLAT) TERSEBAR NEGARA INI BERSAMA MENJAGA KESUCIAN ISLAM!!!



Baru-baru ini gempar di media sosial berkenaan beberapa keping gambar yang memperlihatkan sebuah masjid di Jerman yang dikenali sebagai Masjid Ibn Rusyd-Goethe, Berlin telah membentangkan bendera LGBT untuk merayakan bulan ‘Pride’ yang disambut oleh golongan laknatullah itu pada 15 dan 16 Julai 2022.


Majlis yang turut dihadiri oleh imam dan pengurusan masjid tersebut amat mengejutkan masyarakat Islam kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai tanda sokongan terhadap LGBT, malah mereka turut mendukung slogan ‘Liebeist Halal’. Adalah tidak menghairankan jika masjid ini telah menghalalkan perbuatan LGBT secara terang-terangan pada masyarakat dunia kerana disebalik pembinaannya adalah diusahakan oleh seorang feminis Jerman iaitu Seyran Ates.


Imam masjid memberi alasan sokongan tersebut adalah kononnya agar masjid menjadi tempat yang aman bagi sesiapapun, termasuklah mereka yang berbeza fitrah supaya mereka dapat  ‘spiritual Islam’ dalam diri mereka.  Bukan itu sahaja yang menjadi kontroversi, masjid ini malah tidak membenarkan pemakaian tudung atau niqab yang menutup wajah, tiada pengasingan saf untuk jemaah lelaki dan perempuan, membolehkan wanita menjadi imam, khatib dan muadzin untuk solat jumaat dan turut terbuka kepada Sunni mahupun Syiah. 


Perkara ini secara jelasnya memperlihatkan bahawa mereka yang berfahaman Islam liberal ini telah bersikap melampau dan semakin berani memperjuangkan tuntutan hak kebebasan kononnya atas dasar hak asasi manusia sedangkan secara jelasnya perbuatan tersebut telah menyalahi akidah Islam yang sebenar. Bukankah dahulu kita digemparkan dengan kisah Aminah Wadud yang melakukan perkara yang sama dan mengapa perkara ini boleh berulang semula?


Fenomena ini seharusnya diambil perhatian oleh pihak bertanggungjawab malah sebagai seorang Muslim juga perlu ada tanggungjawab untuk membanteras fahaman Islam liberal ini dari terus berlaku. Di Malaysia juga sedikit demi sedikit fahaman liberal dilihat semakin meresap dalam pemikiran umat Islam bukan sahaja dalam kalangan anak muda malah golongan professional termasuk ahli politik turut mendukung ideologi sesat ini.


Sebagai contoh individu seperti Siti Kasim, Marina Mahathir dan pemimpin-pemimpin kumpulan G25 yang menjadi ‘tulang belakang’ utama penyebaran ideologi Islam liberal di Malaysia. Mereka dengan beraninya membuat cadangan untuk mentafsirkan semula ayat al-Quran kerana dianggap tafsiran ulama terdahulu adalah kolot, umat Islam tidak maju kerana tidak mengikut peradaban Barat dan sebagainya.   


Sedangkan al-Quran dan as-Sunnah adalah sumber utama umat Islam, namun mengapa ianya dipersoalkan? Umat Islam seharusnya bersyukur kerana di dalam al-Quran terdapat pelbagai kisah umat terdahulu yang boleh dijadikan contoh dan diambil sebagai pengajaran supaya tidak membuat kesalahan yang sama pada masa akan datang. Seperti mana kisah orang munafik yang diceritakan di dalam Surah at-Taubah, ayat 107 yang bermaksud: 


“ Diantara orang-orang yang munafik terdapat kelompok yang membangunkan masjid bukan untuk mencari keredhaan Allah, tetapi untuk menimbulkan kemudaratan, kekufuran dan perpecahan di antara orang-orang Mukmin…” 


Walaupun di negara kita masih belum lagi wujud tempat ibadah yang mendukung fahaman liberal seperti yang berlaku di Berlin dan beberapa tempat yang lain, namun kewujudan kelompok Islam liberal ini seharusnya dipantau dan diambil tindakan sekiranya perlu. Ideologi Islam liberal Amina Wadud ini perlu dibanteras habis-habisan dan jangan sampai ianya berkembang di Malaysia. Anggaplah perbuatan kita ini sebagai pengorbanan kita dalam mempertahankan akidah umat Islam dan keamanan di Malaysia. 


Sumber:  Cardova Media

Comments