Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan bentuk tubuh, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.” (HR Bukhari).
Dalam surah Ibrahim, ayat 7, Allah SWT berfirman:
“...Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu...”
Atas sebab itu, Allah SWT memerintahkan seseorang untuk bersyukur. Atas dasar syukur itu pula Allah SWT berjanji untuk menambah kebaikan baginya. Bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT adalah salah satu bentuk ibadah Nikmat sama ada yang kelihatan atau tersembunyi, khusus mahupun umum, semuanya berasal daripada Allah SWT. Allah SWT telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Allah SWT juga memberikan kepada setiap hamba akan kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu perkara sebagai ujian. Menerusi ujian tersebut Allah SWT akan menilai hakikat keimanan seseorang hamba, adakah dia benar-benar bersyukur dengan kelebihan atau bersabar di atas kekurangan yang diberikan.
Seorang Muslim yang benar-benar beriman akan memiliki hati yang sentiasa mengekalkan sifat syukur diatas segala nikmat dan rezeki yang dimiliki. Dia akan sentiasa menjauhi sifat hasad dengki terhadap nikmat yang diperoleh orang lain serta mengurangkan kerisauan hati daripada mengejar harta duniawi. Syukur dan sabar dengan ujian dan godaan duniawi seperti kemiskinan dan musibah boleh diperoleh secara memandang kepada orang lain yang lebih daif atau yang lebih rendah daripadanya.
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa sering memandang orang yang lebih rendah atau kurang daripada kita agar kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita miliki. Namun dalam perkara yang berhubung dengan akhlak, ilmu dan ibadah maka lihatlah orang yang lebih baik sebagai ikutan kita.
Sumber: Harian Metro (4 Januari 2019)
Comments
Post a Comment