BERSYUKURLAH DAN JANGAN MENGELUH DENGAN KELEBIHAN SERTA KEKURANGAN YANG ALLAH SWT KURNIAKAN NESCAYA HATI MENJADI TENANG


Tujuan asal hidup manusia di muka bumi ini adalah untuk beribadah kepada Allah SWT dan memperoleh ganjaran pahala dan syurga di akhirat kelak. Namun, untuk memilikinya bukanlah satu jalan yang mudah melainkan didatangkan pelbagai cubaan dan dugaan daripadaNya. Setiap manusia di muka bumi ini mempunyai dugaan dan cubaan yang didatangkan dengan cara yang berbeza-beza, cuma terpulang kepada individu itu sendiri untuk menanganinya. Namun, apakah elok untuk kita terus mengeluh dengan cubaan yang datang daripada Allah SWT sedangkan Dia telah memberi kita seribu satu rahmat dan nikmat? Firman Allah SWT:

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" (QS Ar – Rahman: 13).

Banyak atau sedikit rezeki yang dikurniakan, seharusnya kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT. Jika boleh, biasakan diri untuk mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda rasa syukur kita kepadaNya. Bangkitlah daripada gelora rengekan dan selimut keluhan dan beralih kepada norma peradaban mensyukuri nikmat Allah SWT.  Bersyukur merupakan satu ibadah, maka barangsiapa yang selalu mengucapkan kata-kata syukur di bibirnya kepada Allah SWT maka Dia akan menambahkan lagi nikmat tersebut dengan lebih berganda. Dalam surah Ibrahim ayat 7, Allah SWT berfirman maksudnya:

“…Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu…”

Untuk melatih diri bersyukur meskipun apa yang kita peroleh itu kurang atau tidak seperti yang diharapkan, para ulama mengajar kita dengan memandang kepada orang yang lebih rendah daripada kita. Ini bermakna, apa sahaja yang kita buat, kita mesti pandang yang rendah daripada kita. Barulah lahirnya rasa syukur. Maksudnya di sini, kita ambil contoh dari konsep perniagaan. Kita hanya mampu peroleh untung sederhana sahaja pada hari itu dan kita mengeluh. Akan tetapi, cuba kita lihat di sekitar kawasan lain yang peniaganya memperoleh keuntungan yang sangat sedikit berbanding kita, tidakkah kita merasa bersyukur dengan apa yang kita dapat pada hari itu?

Ingat, jangan mengeluh dengan kelebihan dan kekurangan yang kita miliki kepada Allah SWT sebaliknya bersyukur dengan apa yang kita ada. Oleh itu, jadilah hamba yang bersyukur kerana mengetahui segala nikmat datangnya daripada Allah SWT dan menterjemahkan rasa syukur dengan menggunakan kurniaan itu pada jalan yang diredaiNya. Rasa syukur itu tidak terhenti hanya di dunia sebaliknya haruslah berkekalan hingga ke akhir hayat supaya terhindar daripada sifat kufur terhadap nikmat diberi.

Sumber: Berita Harian (5 Disember 2019)


 

Comments