BERUSAHALAH UNTUK MENJADI INSAN TERBAIK DENGAN SENTIASA BERMUHASABAH UNTUK MEMBAIKI DIRI KE ARAH KEBAIKAN DAN KETAKWAAN
Menjadi seorang Mukmin yang baik adalah satu tuntutan dalam agama. Seorang Mukmin yang baik akan menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia lain dan menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT. Seorang yang taat kepada Allah SWT akan sentiasa meningkatkan amal ibadahnya di sisi Allah dan selalu membina hubungan dengan Allah SWT melalui solat, zikir, membaca al-Quran dan ibadah-ibadah yang lain sehingga mencapai ketakwaan di sisi Allah SWT. Begitu juga peranan manusia yang baik akan menjalani peranannya sebagai khalifah dengan sentiasa memperbaiki diri untuk berbuat kebaikan kepada diri dan seluruh makhluk di alam ini.
Menjadi seorang umat Islam yang baik di dalam era moden dan globalisasi pada hari ini bukanlah mudah. Ini kerana terdapatnya pelbagai godaan dan ujian yang datang silih berganti, apatah lagi dengan kemajuan pesat teknologi tanpa sempadan yang membuatkan kita lebih mudah tergoda dengan tipu daya duniawi. Namun sebagai umat Islam, kita telah dipersiapkan dengan bekalan al – Quran dan As – Sunnah sebagai panduan lengkap hidup sebagai seorang Mukmin.
Dalam surah Ali ‘Imran ayat 110, Allah SWT berfirman:
“Kamu (Umat Nabi Muhammad SAW) adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia. (Kamu) menyuruh (manusia) melakukan kebaikan dan (kamu) mencegah daripada melakukan kemungkaran dan (kamu) beriman kepada Allah.”
Berdasarkan firman Allah SWT di atas, mari bersama kita bermuhasabah dan bertanyakan soalan kepada diri masing-masing, adakah kita sudah berjaya sampai tahap yang disebutkan ayat berkenaan sebagai 'sebaik-baik umat'? Adakah kita sedang menuju arah terbabit? Atau mungkin juga, kita masih berada di takuk lama dan ayat berkenaan hanya sebagai selingan semata-mata? Cuba renungkan sebentar, apakah amalan kita ini sudah cukup untuk kita gelarkan diri kita ‘sebaik-baik umat’? Hakikatnya masih banyak lagi kekurangan yang perlu kita perbaiki sebagai umat Islam.
Di sebalik sesetengah umat Islam yang sudah mampu mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang berkat usaha gigih, ketabahan serta daya tahan yang tinggi, sama ada dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan sebagainya, ternyata kita masih mempunyai kelemahan dan cabaran-cabaran besar serta masih dibelenggu dengan pelbagai masalah dan isu yang membantutkan kemajuan dan kecemerlangan ummah. Justeru, apa yang patut kita lakukan? Kita mestilah mempersiapkan diri kita dengan peranan dan tanggungjawab sebagai umat Islam. Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab di atas kepemimpinannya.” (HR Bukhari).
Selain itu, kita hendaklah sentiasa menjaga diri kita agar terhindar daripada segala jenis perkara mahupun penyakit berbahaya. Dalam konteks ini, penjagaan diri tidak berfokus kepada iman sahaja, tetapi aspek kebersihan dan kesihatan juga perlu diambil kira. Muslim juga perlu menggunakan kesempatan kesihatan yang ada untuk meraih seberapa banyak kesihatan jasmani, rohani, begitu juga intelektual yang sememangnya sekarang ini amat sangat dirasakan kepincangannya. Manakala kelapangan masa akan digunakan pada perkara yang memanfaatkan diri sendiri dan persekitaran. Jika kita kurang berpengetahuan agama, hadirilah kelas agama yang dianjurkan di masjid atau surau supaya dapat bersama meningkatkan taraf ilmu agama dan sekali gus keimanan. Paling diutamakan adalah menetapkan kembali matlamat dan wawasan hidup yang perlu kita capai. Rasulullah SAW bersabda:
“Orang yang bijaksana itu adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal (bekerja) untuk bekalan selepas matinya. (Manakala) orang yang lemah itu adalah sesiapa yang mengikut hawa nafsunya dan kemudian mengharap (pertolongan) Allah.” (HR At – Tirmizi).
Kita perlu menginsafi bahawa setiap daripada kita membawa obor Islam yang diamanahkan oleh Allah SWT menerusi nikmat-Nya untuk menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin. Jangan kita asyik berhibur, berfoya-foya, menyalahkan nasib dan berpaling tadah daripada suruhan agama kerana sesungguhnya sifat sedemikian itu tidak layak disandarkan kepada hamba yang benar-benar beriman. Sempena menyambut bulan Muharam iaitu tahun baru dalam kalendar bulan Islam ini, mari kita perbaharui azam untuk sama-sama menjadi umat Islam yang terbaik dalam memperkasakan ummah dan mengatasi cabaran bersama agar dirahmati dan dikasihi oleh Allah SWT.
Sumber: Harian Metro (1 Ogos 2022)
Comments
Post a Comment