BERUSAHALAH UNTUK MENJADI INSAN TERBAIK YANG SENTIASA MEMBERI MANFAAT KEPADA INSAN LAIN AGAR DICINTAI OLEH ALLAH SWT

 


Sebagai anggota masyarakat dalam sebuah negara, kita hendaklah berusahalah untuk menjadi seorang Muslim yang baik yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain kerana orang yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberi manfaat kepada manusia lain. Rasulullah SAW  bersabda:


 “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh." (HR Tobarani).


Hidup bermasyarakat menuntut setiap kita cakna terhadap orang di sekeliling. Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat orang lain bahagia. Antaranya dengan cara meringankan kesusahan seseorang,  membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. 


Melihat kepada realiti kehidupan pada masa kini, kita dapati ada anggota masyarakat yang terkesan dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, penyakit, masalah pekerjaan juga keluarga. Orang yang prihatin akan sentiasa menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan serta meringankan masalah orang lain. Ketahuilah bahawa perbuatan tersebut lebih dicintai oleh Allah SWT daripada dia beriktikaf sebulan di masjid Nabawi. 


 Oleh itu, marilah kita menjadi orang yang bermanfaat dengan sentiasa berusaha mewujudkan masyarakat dan negara yang bersatu padu dan diredhai Allah SWT.  Berusahalah kita menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain supaya keberadaan kita dalam sesebuah organisasi,  masyarakat dan negara amat dirasai manfaat kebaikannya. Ketiadaan kita pula akan ditangisi.


Kita hidup di dunia ini hanya sementara sahaja dan yang kekal adalah di alam akhirat nanti. Dalam hidup kita yang singkat ini, cuba kita renungkan kembali, apakah hidup kita selama ini banyak memberi manfaat atau menyusahkan orang lain?

Sebenarnya Allah SWT  mencipta semua makhluk dengan taraf yang sama di sisi-Nya. Tidak kira apapun bangsa dan warna kulit kita. Yang membezakannya hanyalah sama ada kita dimuliakan atau dihinakan oleh-Nya. Marilah kita hayati sabda Rasulullah SAW mengenai siapakah yang terbaik dalam kalangan manusia? Rasulullah SAW bersabda:

"Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain." (HR Bukhari dan Muslim). Oleh itu, berdasarkan hadis di atas, manusia yang dimuliakan oleh Allah SWT ialah manusia yang sentiasa berbuat kebaikan dan perkara yang memberi manfaat kepada orang lain di sekelilingnya. Ini bermakna, memiliki keperibadian yang dapat memberi manfaat kepada orang lain seperti sifat dermawan, kasih sayang, hormat menghormati, 'ringan tangan' untuk membantu orang lain adalah sesuatu sifat atau ciri-ciri orang Islam yang baik yang amat dituntut dalam Islam dan mendapat kecintaan Allah SWT. Ketahuilah bahawa manfaat yang kita berikan kepada orang lain, semuanya akan kembali kepada diri kita sendiri sebagaimana firman Allah SWT:

"Jika kalian berbuat baik, sesungguhnya kalian berbuat baik bagi diri sendiri." (QS al- Isra': 7).


Sementara itu, Rasulullah SAW juga bersabda:

"...dan barangsiapa (yang bersedia) membantu keperluan saudaranya, maka Allah (akan sentiasa) membantu keperluannya." (HR Bukhari dan Muslim).


Sumber: Sinar Harian, 3 Ogos 2022.

Comments