ISU PENGKID MENUNAIKAN UMRAH DI MEKAH - SAMPAI BILA AGAMA ISLAM TERUS DIPERKOTAK-KATIKKAN? - BERSAMA MENJAGA KESUCIAN ISLAM
Baru-baru ini heboh di laman sosial berkenaan sebuah video yang memaparkan seorang wanita berketerampilan seperti lelaki menunaikan ibadah umrah di mekah. Astaghfirullahalazim! Agama Islam sekali lagi diperkotak-katikkan oleh golongan yang mungkar! Di mana akal dan fikiran hingga sanggup memalukan agama sendiri?
Tidak malukah kepada penganut-penganut agama lain yang sanggup bermati-matian membela agama mereka? Sedangkan kita, masih lalai menjaga kesucian agama yang syumul ini. Firman Allah SWT:
"Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika KAMI maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka KAMI akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah." (QS At - Taubah: 66).
Setiap ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah untuk semua umat manusia menerimanya. Hal ini membuktikan syariat atau pelaksanaan tuntutan agama Islam semuanya bersesuaian dengan kehidupan manusia seperti mana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi dakwahnya. Jika kita sendiri memperlekehkannya lalu bagaimana orang-orang bukan Islam mahu menghormati agama ini?
Peranan memelihara kesucian agama Islam adalah tanggungjawab semua pihak yang perlu digalas bersama dengan bersungguh-sungguh. Seperti insiden ini, ia secara jelas dan nyata suatu perlakuan mempersendakan agama demi untuk menegakkan benang yang basah. Apa yang cuba dilakukan bertentangan dengan ajaran Islam dan wajar ditentang habis-habisan.
Justeru, umat Islam digesa bersatu untuk menjaga dan memelihara kesucian agama Allah dan ajaran Rasulullah SAW melebihi dari kepentingan dirinya dan juga manusia lain di atas muka bumi ini. Hukum dan perintah agama adalah jelas dan tidak boleh ditokok tambah dan diubah suai mengikut selera manusia itu sendiri atas tuntutan perkembangan zaman mahupun apa juga sebab mengikut logik akal manusia itu sendiri. Jangan sesekali mempermainkan syiar Islam. Sabda Rasulullah SAW:
"Segeralah beramal sebelum datangnya rangkaian fitnah seperti malam yang gelap gelita. Di mana seseorang pada waktu pagi hari mukmin lalu petang harinya menjadi kafir. Di petang hari mukmin lalu pagi harinya menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan barang kenikmatan dunia." (HR Muslim).
Sumber: Harian Metro (8 Disember 2020)
Comments
Post a Comment