JANGAN SOMBONG DAN MEMBANGGA DIRI KERANA SEMUA YANG TERJADI DI DALAM HIDUP INI ADALAH ATAS KEIZINAN ALLAH SWT
“Apa yang aku miliki hari ini, semuanya atas usaha aku tanpa ada bantuan sesiapapun!!”. Pernahkah kita mendengar ayat tersebut? Jikalau ada, Itu adalah tanda manusia yang sombong. Dengan bangganya mendakwa apa yang dimiliki itu adalah atas usahanya tanpa bantuan sesiapapun. Sudah lupakah kita jika tanpa keizinan Allah SWT, berusahalah sekuat mana dan sekeras apapun, tetap tidak akan menjadi. Hanya Allah SWT yang mampu memenuhi segala kehendak manusia. Dia Tuhan Maha agung, Maha kuasa, Maha kaya, Maha pengasih dan Maha penyayang kepada setiap mahklukNya. Firman Allah SWT:
“Berdoalah kamu kepada-KU nescaya AKU perkenankan doa permohonan kamu.” (QS al-Ghafir: 60).
Dalam ayat di atas sudah terang dan nyata bahawa Allah SWT ingin sekali kita berdoa kepadaNya kerana hanya Dia yang mampu menentukan segalanya terhadap hidup manusia. Jika manusia tidak berdoa, ia sekali gus menggambarkan sifat sombong mereka kerana diri merasakan tidak memerlukan pertolongan daripada Allah SWT. Dalam konteks seorang Mukmin, Allah SWT satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan diminta segala harapan serta doa agar dihapuskan kesusahan yang sedang ditanggung. Berdoa merupakan fitrah manusia terutamanya apabila kita berada dalam keadaan sukar, musibah atau terdesak. Dalam keadaan seperti itu lazimnya, manusia akan mencari kekuatan diri dengan berdoa.
Pernah atau tidak kita terfikir, mengapa manusia bila ditimpa kesusahan mereka akan selalu meminta kepada Allah SWT dan tidak kepada manusia? Ini kerana manusia tidak mempunyai kuasa dan upaya untuk menentukan penyelesaian sesuatu masalah dan hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui segala penyelesaiannya. Justeru, mengapa kita masih lagi sombong dengan Allah SWT? Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak akan masuk surga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat biji sawi.” (HR Muslim).
Oleh itu, jangan kita sesekali sombong dan mendabik dada atas apa yang kita perolehi pada hari ini. Ianya semua adalah pinjaman semata-mata daripada Allah SWT dan bila-bila masa sahaja boleh ditarik balik. Sedangkan orang yang tawaduk dan beriman pun didatangkan cubaan oleh Allah SWT dengan kehilangan sesuatu atau seseorang, inikan pula golongan yang sombong?! Maka dari itu, jangan sombong kerana semua yang terjadi di dalam hidup manusia ini atas keizinan daripada Allah SWT.
Ingatlah bahawa jika seseorang itu sombong kerana harta, hartanya akan lenyap darinya. Jika seseorang sombong kerana ilmunya, maka ketahuilah bahawa masih ramai orang lain yang lebih berilmu darinya. Kemudian, jika seseorang itu sombong kerana amalnya, maka hendaklah ia sedar bahawa menganggap amalnya sempurna adalah sifat yang hina bukannya kemuliaan. Allah SWT melarang kita dari bersifat sombong seperti firmaNya:
"Dan janganlah kamu berjalan di atas muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sesekali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung." (QS Al-Isra:37).
Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa mereka yang bersikap sombong akan menerima nasib yang buruk di akhirat kelak seperti sabda Rasulullah SAW:
Pada hari akhirat kelak orang-orang yang sombong di dunia akan dikumpulkan dalam keadaan ketakutan dan terhina." (HR At-Tirmizi).
Sumber: SinarPlus.sinarharian (29 Januari 2021)
Comments
Post a Comment