TREND TUDUNG “ON & OFF” ATAS ALASAN TIDAK MAHU BERPURA-PURA - ‘PENYAKIT’ DOSA BESAR WANITA MUSLIM YANG CUBA DINORMALISASIKAN
Trend tudung ‘on off’ sememangnya satu penyakit yang merbahaya melanda di kalangan wanita Islam pada hari ini. Jika kita lihat, semakin ramai di kalangan wanita Muslim yang berhijab mula membuka hijab mereka dengan alasan untuk menjadi diri mereka yang sebenar atau dalam erti kata zaman kini tidak mahu ‘fake’. Persoalannya, adakah kita mahu ‘fake’ di depan Allah SWT apabila di Padang Mahsyar kelak untuk menghitung amalan? Firman Allah SWT:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka..” (QS An – Nur: 31).
Sudah jelas, terang dan nyata di dalam surah di atas, Allah SWT memerintahkan para wanita Muslim untuk menutup aurat mereka dengan tudung serta menjaga kehormatan mereka dari pandangan lelaki yang bukan muhrim. Jadi, mengapa ada alasan tidak mahu berpura-pura dalam hidup lalu mengambil keputusan untuk membuka aurat sedangkan sudah ada perintah Allah SWT untuk menutupnya? Jangan cuba untuk menormalisasikan ‘penyakit’ dosa besar seorang wanita Muslim hanya kerana terikut-ikut dengan trend terkini.
Setiap orang Islam sama ada lelaki atau wanita wajib menjaga batasan aurat yang ditentukan oleh syarak. Islam menitikberatkan juga soal etika berpakaian demi menjaga batasan aurat yang sudah ditetapkan. Islam mewajibkan umatnya menutup aurat dengan sempurna baik lelaki mahupun perempuan. Namun di dalam isu ini, pemakaian tudung buat para wanita Muslim adalah yang lebih utama bagi mengelakkan timbulnya sebarang fitnah di kemudian hari.
Wahai para wanita, ketahuilah aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup. Jangan kerana alasan yang remeh dan tidak masuk akal maka sanggup melanggar hukum perintah Allah SWT. Ingatlah pesan Rasulullah SAW menerusi sabda Baginda yang bermaksud:
“Wanita itu aurat, jika ia keluar rumah, maka syaitan akan menghiasinya.” (HR Ibnu Hibban).
Sumber: Harian Metro (3 Mac 2021)
Comments
Post a Comment