BERTAKWALAH AGAR MENJADI INSAN YANG MULIA DI SISI ALLAH SWT DAN BERAKHLAK MULIALAH KERANA IA ADALAH CIRI ORANG-ORANG YANG BERTAKWA
Pelaksanaan ibadah yang betul adalah bukti tunduknya seseorang hamba selepas mengaku beriman kepada Tuhannya. Ibadah yang dimaksudkan di sini termasuklah ibadah khusus yang menyentuh fardu ain dan juga fardu kifayah yang merangkumi hubungan manusia sesama manusia.
Sehubungan itu, bagi individu yang berperibadi unggul seluruh hidupnya baik hubungannya dengan Pencipta atau masyarakat adalah dianggap satu ibadah. Sifat utama dan istimewa yang mungkin dicapai oleh orang Islam ialah bertakwa kepada Allah SWT iaitu menjunjung segala titah perintah Allah SWT samada yang berupa suruhan atau larangan dengan adanya sifat takwa ini dapat mengangkatkan seseorang itu kepada darjat yang mulia di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (QS Al – Hujurat: 13).
Dengan sifat takwa ini akan membezakan kemuliaan seseorang itu di sisi Allah SWT manakala sifat takwa ini dapat dicapai oleh sesiapa pun di kalangan orang Islam di dunia ini. Sebenarnya sifat takwa itu merangkumi perkara-perkara akidah, hukum-hukum dan akhlak yang mulia. Orang mempunyai sifat takwa itu akan memperolehi hidayah dan pertunjuk daripada Allah SWT dan akan membuat perkara-perkara baik dan seterusnya akan mendapat pangkat yang tinggi di sisi Allah SWT. Setiap Muslim perlu memiliki sifat takwa dimana-mana sahaja berada dan dalam setiap waktu.
Daripada Abu Dzar RA ia berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku:
"Bertakwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik." (HR At – Tirmidzi).
Lakukanlah amal kebaikan kerana ia boleh menjadi penyebab kepada penghapusan dosa yang dilakukan seperti beristighfar, berwuduk, solat, sedekah dan sebagainya. Berakhlak baiklah dalam pergaulan sesama manusia sama ada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sepejabat mahupun anggota masyarakat yang Muslim dan bukan Islam. Dengan adanya sifat takwa pada seseorang itu jika ianya terlanjur melakukan sesuatu kesalahan atau kejahatan ia akan disusuli dengan kerja-kerja kebaikan kerja amalan yang baik boleh menghapuskan sesuatu kejahatan.
Oleh itu, jagalah akhlak dalam perhubungan sesama kita dalam organisasi dan masyarakat. Elakkan umpatan, fitnah, hinaan, merendah-rendah orang lain dan sebagainya. Marilah kita menjadi orang yang bertakwa, yang melakukan amal soleh dan menjauhi mungkar, serta berakhlak mulia dalam pergaulan sesama manusia. Bersamalah kita membina masyarakat dan negara yang harmoni dan sejahtera.
Sumber: Koleksi Hadis, Jimaain bin Safar, people@utm
Comments
Post a Comment