JANGAN MENGHINA ATAU MENCELA ORANG LAIN MESKIPUN ORANG YANG DICELA ITU BERSALAH KERANA PERBUATAN TERSEBUT BUKANLAH AKHLAK ORANG BERIMAN DAN DILARANG DALAM ISLAM

 

Ada di kalangan kita selalu membaca pelbagai tulisan mencerca, menghina atau mentertawakan manusia lain yang sedang dilanda musibah, sebagai contoh ketika seseorang itu menerima hukuman atas kesalahan yang dia lakukan di media sosial atau media komunikasi, sekali gus menganggap tindakan itu sebagai patut kerana individu terbabit didapati bersalah atas jenayah atau kesalahan dilakukannya. Tanpa menafikan kesalahan yang dilakukannya adalah tidak sepatutnya dibuat kerana bercanggah dengan undang-undang termasuk dalam konteks agama, umat seharusnya berdoa agar sesuatu apa berlaku itu memberikan hikmah bukan sahaja kepada pesalah terbabit, bahkan masyarakat dan negara.

Islam melarang umatnya daripada mencela orang lain secara umumnya apatah lagi mentertawakan individu yang sedang ditimpa musibah atau dijatuhkan hukuman. Ini kerana hukuman dijatuhkan itu adil dan setimpal kepadanya, maka ketentuan itu menjadi hikmah supaya individu terbabit bertaubat dan melakukan amal soleh serta berdoa semoga Allah SWT memberi hidayah kepadanya. Jangan kita menggunakan peristiwa kejatuhan seseorang sebagai bahan untuk bergelak ketawa. Rasulullah SAW bersabda:

 “Cukuplah seseorang dikatakan telah berbuat jahat jika ia merendahkan saudaranya Muslim.” (HR Ibn Majah).

Sebagai seorang muslim kita diajar oleh Baginda Rasulullah SAW untuk sentiasa merasai kepahitan seorang Muslim yang lain seperti jasad yang satu. Bagi seseorang yang diuji oleh Allah SWT dengan apa juga perkara yang dihadapinya itu merupakan kasih sayang Allah kepadanya agar dia segera kembali kepada Yang Esa. Seharusnya apabila melihat seseorang yang terkena musibah atau berada di dalam kesusahan, kita seharusnya berdoa agar Allah SWT memelihara kita daripada perbuatan-perbuatan yang tidak diredai Allah dan membuka hati si pelaku untuk bertaubat kepadaNya. Jangan kita gunakan kejatuhan seseorang untuk bergelak ketawa.

Adapun bagi mereka yang sengaja maka ia adalah satu perkara yang keji kerana menghina orang lain dan menyebabkan hatinya terluka. Berapa ramai hari ini yang mentertawakan orang lain yang berada di dalam kesusahan. Ingatlah bahawa seseorang itu tidak mengetahui akan pengakhirannya bagaimana adakah hidupnya akan diakhiri dengan beriman kepada Allah SWT atau sebaliknya. Firman Allah SWT:

“…Janganlah kamu saling mencela satu sama lain dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman. Dan barangsiapa tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (QS al – Hujurat: 11).

Maka dari itu, marilah kita bermuhasabah diri. Usah mentertawakan orang lain dengan niat untuk mencela mereka ketika di dalam kesusahan kerana di akhirat nanti kita hanya akan mengatakan diriku diriku. Sedangkan di atas muka bumi kita sibuk akan diri orang lain sehingga kita lupa akan diri kita sendiri.

Sumber: Berita Harian (28 Ogos 2022)


Comments

Post a Comment