UJIAN TANDA ALLAH SWT SAYANGKAN HAMBANYA - HADAPILAH UJIAN DENGAN TENANG DAN SABAR AGAR MEMPEROLEHI GANJARAN YANG BESAR DI AKHIRAT KELAK

 

Kehidupan di dunia ini penuh dengan ujian. Tanpa mengira sesiapa pun sama ada orang itu kaya atau miskin tetap  ada ujiannya.

Setiap ujian yang dihadapi dalam kehidupan ini mampu menjadikan seorang insan itu lebih kuat dan tabah.

Tidak mungkin orang beriman akan memperoleh pahala dan nikmat syurga tanpa sebarang ujian dan kesusahan. Cuma yang membezakan antara manusia adalah bentuk ujian yang diterima. Firman Allah SWT:

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (QS Al – Ankabut: 2).
 
Jika diri kita sedang diuji, apa yang akan kita lakukan? Kebanyakan daripada kita pasti akan menyalahkan takdir, menangis dan meratap semahunya. Akan tetapi, pernahkah kita terfikir bahawa ujian yang datangnya daripada Allah SWT ini salah satu petanda bahawa Allah SWT sangat sayang akan hambaNya dan ingin kita kembali kepadaNya? 

Allah SWT akan menguji setiap hambaNya dengan menarik sedikit daripada kurniaanNya ini, maka manusia sudah merasa kehilangan. Sedangkan hakikatnya kurniaan itu asalnya daripada Allah dan Dia berhak mengambil semula pada bila-bila masa. Bayangkan, sepanjang tahun, kita dikurniakan kesihatan baik oleh Allah SWT dan sekali-sekala ditimpa kesakitan ataupun keadaan kesihatan yang terganggu. Itu bukan bermakna Allah SWT sudah tidak menyayangi kita. Allah SWT menguji dengan menarik sedikit daripada nikmat, maka akan menjadikan seseorang itu akan kembali mengingati Allah dan bersyukur di atas nikmat-Nya. Apatah lagi, nikmat kurniaan yang ditarik balik itu hanya sebahagian kecil berbanding dengan yang sudah diperoleh.

Sebenarnya, ujian dapat mendekatkan diri seseorang Muslim kepada Allah SWT. Tidak ada tempat selayaknya diharapkan pertolongan selain kepada Allah SWT. Apabila dihadirkan ujian, antara perkara yang perlu disematkan dalam diri ialah perlunya untuk bersabar. Mungkin ia mudah untuk diungkap, namun sukar untuk dipraktikkan sekiranya tanpa adanya iman. Rasulullah SAW pernah menjelaskan kehebatan orang yang beriman kerana mereka sentiasa bersyukur bila menerima kebaikan atau nikmat dari Allah SWT dan bersabar dalam menghadapi kesukaran dalam urusan kehidupan dunia. Sabda Baginda SAW:

“Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Segala perkara yang dialaminya sangat menakjubkan. Setiap takdir yang ditetapkan Allah bagi dirinya adalah kebaikan. Apabila kebaikan dialaminya, maka dia bersyukur dan hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila keburukan menimpanya, dia bersabar dan hal itu merupakan kebaikan baginya.” (HR Muslim).

Justeru, apa sahaja ujian, dugaan atau cabaran yang kita lalui kita hendaklah sentiasa hadapinya dengan tenang dan sabar. Ujian itu datangnya daripada Allah SWT dan itu tandanya Allah SWT masih lagi menyayangi diri kita dan ingin kita ingat kembali kepadaNya. Hati-hati, apabila kita terlalu hidup selesa dengan dosa malah berbangga-bangga tanpa ujian, itu tandanya Allah SWT semakin jauh daripada kita.

Sumber: Harian Metro (24 Disember 2021)


Comments